Home Berita Lain ‘Elsa’ si harimau putih tarikan baharu Zoo Melaka

‘Elsa’ si harimau putih tarikan baharu Zoo Melaka

MELAKA, 28 Ogos — Zoo Melaka malam tadi menerima seekor Harimau Putih Bengal betina yang diberi nama ‘Elsa’ menerusi kerjasama strategik dengan Sunway Lagoon Wildlife Park, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Mohd Rafee Ibrahim.

Beliau berkata harimau berusia satu tahun sembilan bulan dengan berat 100 kilogram itu akan menjadi ikon terbaharu Zoo Melaka dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke zoo tersebut yang berperanan sebagai pusat pemuliharaan, penyelidikan dan pendidikan.

Beliau berkata buat permulaan Elsa akan dikuarantin sebelum dilepaskan untuk pameran umum pada minggu Hari Malaysia bermula 14 Sept depan.

“Zoo Melaka melalui MPHTJ telah menjalin kerjasama strategik bukan sahaja dengan Sunway Group tetapi juga pelbagai zoo di Malaysia dan Asia Tenggara bagi membawa lebih banyak haiwan baharu ke Zoo Melaka dalam usaha menjadikan zoo ini sebagai salah satu ikon pelancongan negeri.

“Ketibaan Harimau Putih Bengal baka India ini diharap dapat merancakkan sambutan Tahun Melawat Melaka 2019 bagi menarik lebih ramai pengunjung terutama pada musim cuti sekolah pada akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis menyambut ketibaan haiwan itu di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis.

Mohd Rafee berkata menerusi kerjasama itu Zoo Melaka menyerahkan seekor zirafah betina bernama Mercy yang berusia kira-kira setahun ke Petting Zoo, Lost World Of Tambun (LWOT) Theme Park bagi tujuan pembiakan dan serta seekor ungka tangan putih dan Brown Capuchine ke Sunway Lagoon Wildlife Park.

Sementara itu, beliau berkata Zoo Melaka akan cuba mendapatkan seekor harimau putih jantan  menerusi kerjasama strategik bersama Batu Secret Zoo di Surabaya, Indonesia pada Septrmber depan.

Katanya sebagai pertukaran Batu Secret Zoo ingin mendapatkan seekor Harimau Malaya jantan kerana mereka tiada spesis tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata Zoo Melaka kini mempunyai sebanyak 183 spesis haiwan dan sebanyak sembilan lagi haiwan baharu daripada pelbagai spesis akan diterima menjelang akhir tahun ini menerusi kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.

“Antara haiwan baharu yang dijangka diterima di Zoo Melaka termasuk singa jantan dan betina, badak air, seladang, tapir, gajah dan burung merak,” katanya.

— BERNAMA

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version