KOTA BHARU, 27 Ogos — Seramai 100 pelajar Orang Asli program Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kok Lanas, cukup teruja dengan kesudian sebuah syarikat swasta, Kemudi Timur Elektronik Sdn Bhd meraikan kehadiran mereka di sini untuk sama menyemarak dan meraikan lagi semangat patriotisme, di samping menyemai semangat cintakan negara.

Pengarah Urusan Kemudi Timur Electronics Sdn Bhd, Shabki Abdullah berkata sebagai syarikat elektrik dan elektronik Bumiputera, beliau terpanggil untuk membangkitkan semangat cintakan negara di kalangan para pelajar berkenaan dengan mengagih dan mengibar Jalur Gemilang kepada mereka.

Beliau berkata pihaknya memang merancang untuk melawat Madrasah Pengajian Islam (MPI) di Kok Lanas itu untuk meninjau sendiri segala kekurangan dan keperluan di situ bagi membolehkannya menghulurkan sumbangan pelbagai keperluan perkakasan elektrik termasuk televisyen, kipas dan enjin air kepada mereka.

Bercakap kepada pemberita sempena program Kibar Jalur Gemilang dan sumbangan Kemudi Timur kepada 100 pelajar orang asli dari MPI ABIM Kok Lanas itu, di Pasir Tumboh di sin hari ini beliau berkata sebenarnya masih ramai yang belum mengetahui kewujudan MPI berkenaan.

Sementara itu Pengetua MPI berkenaan Suhaidah Suhaimi berkata dalam serba kekurangan, sekolah madrasah yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan (MAIK) itu mempunyai pelajar Orang Asli pelbagai suku termasuk Temiar, Jahai dan Temuan, bukan sahaja dari Kelantan tetapi dari seluruh negara termasuk Pahang, Terengganu, Selangor dan Kedah.

“Bangunan asal tempat ini adalah kandang lembu yang diluluskan permohonan dengan agensi kerajaan untuk kini digunakan sebagai sekolah agama. Pelajar kami ini semuanya berusia di antara tujuh dan 27 tahun, mereka juga turut menjadi penggerak menyebarkan agama di perkampungan masing-masing setiap pulang bercuti,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here