ALOR SETAR, 10 Sept — Masalah kemiskinan yang membelenggu golongan pesawah padi akan hanya dapat diatasi jika mereka bersedia menerima kaedah menggabungkan tanah sawah mereka untuk diusahakan sebagai estet perladangan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Perdana menteri berkata mempelajari dari kejayaan pengabungan tanah industri getah dan kelapa sawit, pemilik-pemilik tanah sawah kelak akan dapat melaksanakan penanaman padi secara besar-besaran dengan melibatkan kepakaran dan kemahiran pertanian.

“Dengan pendekatan baharu yang dicadangkan oleh kerajaan, kita percaya tenaga mahir dan terlatih boleh sumbang kepada industri padi dan menghapuskan kemiskinan,” katanya semasa berucap merasmikan Konvensyen Padi Kebangsaan di sini.

Menurutnya pendekatan baharu itu akan turut melibatkan penggunaan jentera moden selain memaksimumkan guna tanah dengan memperuntukan sebahagian kawasan untuk penanaman sayur-sayuran dan penternakan haiwan.

“Jika cara ini diterima, saya yakin pesawah tidak akan lagi kekal dalam kemiskinan. Hari ini kita mengimport (makanan) RM60 billion. Dengan menggunakan teknik moden, tanah yang luas tidak diperlukan… hasilnya tetap lebih banyak dan akan dapat menggantikan sayur-sayuran yang diimport,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here