Home Berita MCI Pertunas mahu kerajaan pertimbang GST pada kadar lebih rendah

Pertunas mahu kerajaan pertimbang GST pada kadar lebih rendah

KUALA TERENGGANU, 3 Okt — Persatuan Tunas Usahawan Nasional (Pertunas) menyambut baik kesediaan kerajaan mengkaji keperluan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), selain berpandangan kadar yang lebih rendah wajar dipertimbangkan.

Setiausaha Agung, Nurliana Muhammad berkata langkah ini dapat mengimbangi kesan langsung kepada rakyat berpendapatan rendah terutama kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Kajian pelaksanaan semula GST itu tepat pada masanya kerana ia terbukti sebagai sistem pencukaian yang lebih cekap dan efisien untuk menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan ketika ini.

“Saya percaya rakyat Malaysia sudah cukup matang dan memahami keperluan kerajaan dalam melaksanakan semula sistem GST bagi memastikan ekosistem ekonomi negara jangka panjang dapat diimbangi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mengkaji keperluan memperkenalkan semula sistem GST sekiranya itu kemahuan rakyat.

“Sekiranya rakyat percaya GST lebih baik, kita akan kaji.

“Kalau itu yang kehendak rakyat, kita akan kaji sama ada lebih baik daripada SST (cukai jualan dan perkhidmatan),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam di Kementerian Dalam Negeri, di Putrajaya.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan untuk melaksanakan sistem pencukaian itu tidak akan dimasukkan ke dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan 11 Oktober ini.

Sebelum ini, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia menyarankan kerajaan agar memperkenalkan semula GST pada kadar yang lebih rendah iaitu tiga peratus dalam Belanjawan 2020.

Mengulas lanjut, Nurliana berkata kerajaan boleh mengetepikan dahulu janji manifesto serta sentimen politik dan melihat kepentingan negara secara menyeluruh.

“Dengan GST, ia dapat mengelakkan ‘ekonomi terlindung’ atau ‘black economy’ yang mana kerajaan kehilangan kutipan cukai hampir RM60 bilion,” katanya.

Beliau berkata sistem GST memberi keseimbangan dalam pendapatan kerajaan, bukan sahaja dapat mengurangkan defisit fiskal, malah dapat melaksanakan banyak projek pembangunan, program keusahawanan dan kebajikan untuk rakyat yang tertangguh sebelum ini seperti pembinaan jalan raya, jambatan, sekolah, hospital, klinik, subsidi petani atau nelayan.

“Pelaksanaan GST penting untuk program dan projek, yang dapat memberikan lebih peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat di samping mempertingkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

— BERNAMA

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version