KOTA KINABALU, 27 Okt — Kerajaan Sabah mahu penganjuran festival berasaskan kebudayaan dan tradisi etnik di negeri ini mempunyai keupayaan untuk menarik lebih ramai kehadiran pelancong khususnya dari luar negara, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Ewon Benedick.

Selain keindahan serta keunikan alam semula jadi dimiliki Sabah, Ewon berkata, kawasan luar bandar Sabah turut mempunyai pelbagai lagi produk pelancongan menarik termasuk festival kebudayaan dan tradisi etnik di negeri itu yang sememangnya mempunyai keistimewaan tersendiri.

Mengambil contoh penganjuran Tamu Besar di Kota Belud, Ewon berkata, ia mampu menjadi platform mempamerkan pelbagai kebudayaan etnik masyarakat di daerah itu dan lebih menarik sekiranya ramai pengunjung luar negara datang untuk melihat sendiri kepelbagaian adat, budaya dan makanan tradisi ditawarkan di tamu itu.

“Bagaimanapun, setakat hari ini, hanya orang kita sahaja yang meraikan pesta ini dan tidak ditonjolkan kepada pelancong luar. Kita mesti berusaha memperkenalkan makanan tradisi ini kepada pelancong luar supaya usahawan kita boleh menjadikannya satu perusahaan komersil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian berharap Pesta Badi Taginambur yang akan diadakan pada 12 hingga 13 Dis depan akan menjadi identiti baharu Kadamaian dalam mengetengahkan keistimewaannya khususnya dalam aspek pelancongan.

Pembangunan sedang rancak dilakukan di kawasan itu termasuk pembinaan Kompleks Keusahawanan Desa, rumah rehat, penginapan dan kafeteria pelancongan adalah sebahagian daripada Pelan Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang diharapkan memberi masa depan lebih baik untuk masyarakat Kadamaian, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here