KUALA LUMPUR, 6 Dis — PLUS Malaysia Bhd (PLUS), syarikat pengurusan lebuhraya bertol terbesar di negara ini, merangkul enam anugerah pada majlis Anugerah Perhubungan Awam Malaysia (MPRA) 2019 baru-baru ini.

Walaupun pertama kali menyertai anugerah Perhubungan Awam (PR) kebangsaan, PLUS berjaya memenangi tiga anugerah emas bagi kategori teknologi, perhubungan kakitangan dan penjenamaan korporat.

Syarikat itu juga berjaya memenangi anugerah emas dan perak bagi kategori penggunaan digital terbaik, dan satu lagi anugerah perak bagi kategori sektor awam.

“Kami amat gembira kerana inisiatif komunikasi kami telah mencapai matlamatnya dalam usaha meningkatkan persepsi orang ramai. Di PLUS, adalah penting bagi kami mempunyai objektif yang realistik dan ketara yang memberi impak kepada pelanggan lebuhraya kami.

“Anugerah ini juga membuktikan kerjasama antara pelbagai jabatan di dalam syarikat, oleh itu saya mengucapkan tahniah kepada semua pihak di dalam organisasi PLUS atas pengiktirafan daripada MPRA,” kata Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail dalam satu kenyataan hari ini.

PLUS juga telah berjaya memenangi Anugerah Pengurusan Risiko Terbaik MARIM pada tahun ini, serta Anugerah StrategikRisk Asia Pasifik 2019, Anugerah Konvensyen Antarabangsa Pengurusan Kualiti 2019 di Jepun, Anugerah Persidangan Antarabangsa Organisasi Kualiti Asia Pasifik 2019 di Indonesia dan Anugerah MOB-EX 2019 di Singapura.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here