PUTRAJAYA, 27 Feb – Malaysia mempunyai tabungan yang tinggi di pelbagai insitusi, yang mana tabungan ini boleh dikitarkan bagi menjana aktiviti pelaburan, Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad berkata.

“Dana terkumpul di institusi perbankan, KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), KWAP (Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)) dan lain-lain adalah berjumlah lebih RM2 trilion”, kata beliau pada sidang media selepas mengumumkan pakej ransangan ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion itu di sini, hari ini.

Malaysia adalah antara negara yang mempunyai tabungan yang tinggi dengan tabungan kasar negara sebanyak lebih kurang 26 peratus. Tabungan yang tinggi ini boleh dikitar untuk menjana aktiviti ekonomi negara.

Pakej bertemakan “Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan” itu diperkenalkan kerajaan dalam usaha menangani ekonomi daripada kesan membabitkan penularan COVID-19.

Sehubungan itu, Dr Mahathir  menegaskan bahawa negara mempunyai wang mencukupi pada masa ini dan akan hanya menerbitkan bon sekiranya wujud keperluan untuk berbuat demikian.

Tabungan KWSP contohnya, sebahagiannya boleh digunakan oleh penabung  dalam masa terdekat dan membantu aktiviti ekonomi. Dalam ucapan beliau, jumlah kadar caruman pekerja di KWSP akan diturunkan dari 11 peratus kepada 7 peratus, dan ini bermakna lebih kurang RM10 bilion akan terus ke tangan penyimpan di KWSP untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Mengulas aspek atau kaedah pengagihan pakej ekonomi itu berikutan ketiadaan Kabinet susulan perkembangan politik tanah air ketika ini, Dr Mahathir berkata usaha itu akan dilaksanakan mengikut prosedur birokratik.

Ditanya sama ada kerajaan masih komited terhadap usaha pengukuhan pasca pakej rangsangan ekonomi itu, beliau berkata : “Ya, kita masih komited.”

Terdahulu, Dr Mahathir berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020 diunjurkan dalam julat 3.2 peratus hingga 4.2 peratus berikutan senario ekonomi global serta impak penularan COVID-19.

“Saya yakin pakej rangsangan tersebut akan membolehkan ekonomi Malaysia mencapai tahap tertinggi dalam julat itu.

“Dalam merangka pakej tersebut, kerajaan turut mengambil kira kedudukan fiskal negara. Susulan pelaksanaan pakej itu, defisit fiskal dianggarkan meningkat sedikit kepada 3.4 peratus daripada KDNK berbanding sasaran awal 3.2 peratus,” katanya.

Pada 2003, kerajaan bertindak memperkenalkan pakej rangsangan RM8.1 bilion bagi melonjakkan ekonomi yang terjejas akibat penularan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here