KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) — Pos Laju, cabang kurier Pos Malaysia Bhd dan platform e-dagang Shopee melancarkan kempen “Stay Home Essential”  untuk memudahkan pelanggan membeli barangan keperluan sepanjang tempoh Pergerakan Kawalan Terhad (PKP).

Pos Malaysia berkata kempen itu bertujuan menggalakkan pelanggan untuk berada di rumah dan membeli barangan keperluan secara dalam talian untuk memastikan kesejahteraan rakyat dalam mengharungi detik-detik yang sukar ini.

“Pelanggan kini boleh membeli barangan keperluan mereka melalui Shopee dan akan sampai ke rumah menggunakan perkhidmatan Pos Laju. Kempen ini akan berlangsung mulai 3-25 April, 2020 melibatkan lebih 20,000 produk merangkumi barang runcit, barangan bayi dan kanak-kanak, minuman dan barangan kegunaan isi rumah.

“Pos Laju menawarkan “Essential Vouchers” harian bernilai RM5 dan RM10 yang layak bagi pembelian minimum serendah RM15* bagi setiap barangan di bawah kempen “Stay Home Essentials”,” kata agensi itu dalam kenyataan hari ini.

Menurut Pos Laju, pelanggan hanya perlu memilih Pos Laju sebagai rakan penghantaran pilihan apabila membeli barangan untuk menebus baucar Pos Laju sebelum mendaftar keluar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Syed Md Najib Syed Md Noor berkata kerjasama dengan Shopee sepanjang tempoh PKP bukan sahaja memudahkan pelanggan membeli barangan secara dalam talian, malah dihantar oleh Pos Malaysia.

“Ini akan membantu rakyat kekal selamat dan membendung penularan COVID-19 dan kesukaran memandu ke kedai serta terpaksa beratur panjang, sekali gus menggalakkan mereka berada di rumah sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Pelanggan juga dinasihatkan menggunakan alamat rumah masing-masing untuk penghantaran sepanjang tempoh PKP berikutan penghantaran tidak dapat dilakukan ke alamat perkhidmatan bukan keperluan utama, katanya. 

“Sebagai penyedia perkhidmatan perlu di negara ini, kami komited untuk menyokong penguatkuasaan PKP yang diumumkan kerajaan dan melakukan yang terbaik untuk rakyat dalam tempoh yang mencabar ini,” kata Syed Md Najib. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here