PUTRAJAYA, 5 April (Bernama) — Sebanyak 179 lagi kes positif COVID-19 dicatatkan sehingga 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,662 kes dengan empat lagi kes kematian dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada kes baharu itu 46 kes berkaitan kluster perhimpunan di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Jumlah kematian akibat COVID-19 setakat ini adalah 61 kes, iaitu 1.67 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. 

“Kes kematian ke-58 (kes ke-2210) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 72 tahun, dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 (kes ke-1031).

“Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 27 Mac, dan disahkan meninggal dunia pada 4 April pukul 1.37 tengah hari,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM), di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian ke-59 (kes ke-3484) merupakan lelaki tempatan berumur 68 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 27 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 4 April, pukul 3.40 petang.

Katanya, kes kematian ke-60 (kes ke-3073) pula, merupakan lelaki warga Malaysia berumur 53 tahun, dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 31 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 5 April pukul 12.39 pagi. 

“Kes kematian ke-61 (kes ke-2200) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau telah dirawat di Hospital Keningau, Sabah pada 26 Mac. Beliau disahkan meninggal dunia pada 4 April pada pukul 9.36 malam,” katanya. 

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, seramai 99 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 48 kes memerlukan bantuan pernafasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here