KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) — Kerajaan digesa melonggarkan agihan suntikan Pakej PRIHATIN Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (Tambahan) bernilai RM10 bilion agar meliputi golongan peniaga kecil tidak berlesen yang berniaga di kaki lima dan di kawasan kejiranan yang turut terjejas akibat penularan COVID-19.

Ketika membuat saranan itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata ini penting bagi memastikan pakej itu diagihkan secara menyeluruh dan tidak hanya terhad kepada PKS berlesen dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kesan COVID-19 ini merentasi elemen lesen, kaum dan politik dan seharusnya kerajaan mengharmonikan rakyat dengan mengetepikan sempadan perbezaan menerusi agihan bantuan yang sampai ke peringkat akar umbi.

“Mungkin data-data dari Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan bantuan ketua kampung, ahli majlis tempatan dapat membantu menyediakan maklumat supaya peniaga tidak berlesen turut menerima bantuan,” katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pakej  PRIHATIN PKS (Tambahan) bernilai RM10 bilion hari ini yang khusus untuk membantu meringankan beban kewangan PKS.  

Mengulas selanjutnya, Mohammad Tawfik berkata bantuan itu juga penting memandangkan sektor peniaga antara kelompok yang paling terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya bersetuju dengan Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini, namun peniaga-peniaga kecil ini adalah kumpulan sasar utama yang berperanan menggerakkan ekonomi di peringkat bawahan

“Justeru, kaedah agihan bantuan PKS perlu lebih sesuai agar hanya peniaga terjejas sahaja yang menerimanya. Saya risau munculnya “peniaga segera” yang semata-mata mahu mengambil kesempatan menerusi bantuan tersebut,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata suntikan RM10 bilion itu perlu disegerakan dalam usaha menggalakkan semula pertumbuhan ekonomi rakyat di peringkat bawahan.

Menurutnya, ini berikutan peniaga telah hilang punca pendapatan selama tiga minggu, termasuk menyebabkan usaha sebilangan peniaga kecil yang 100 peratus bergantung kepada pendapatan harian, turut lumpuh.

Beliau juga menyifatkan pengumuman pakej hari ini sebagai langkah kedua memastikan ekonomi negara terus bertahan walaupun penyusutan ekonomi itu tidak dapat dielakkan sepenuhnya.

Bank Negara Malaysia baru-baru berkata COVID-19 akan memberi impak besar kepada ekonomi Malaysia dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun ini dijangkakan pada kadar antara -2.0 dan 0.5 peratus berbanding 4.3 peratus pada tahun lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here