PUTRAJAYA, 7 April — Sebanyak 170 kes baharu COVID-19 dengan satu lagi kematian direkodkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kes positif sebanyak 3,963 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kematian terbaharu itu menjadikan jumlah terkini yang maut akibat COVID-19 seramai 63 orang atau 1.59 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-63 (kes pesakit ke-3,794) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 71 tahun yang berasal dari Perlis. Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan keagamaan di Sulawesi, Indonesia pada 17 Mac hingga 24 Mac.

“Beliau dirawat di Hospital Enche’ Besar Hjh Kalsom, Johor pada 5 April dan disahkan meninggal dunia pada pukul 11.00 malam tadi,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan di sini.

Dr Noor Hisham berkata terdapat 80 kes pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif yang pulih sepenuhnya daripada wabak COVID-19 sebanyak 1,321 atau bersamaan 33.33 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya sehingga kini, 92 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 50 daripada jumlah itu memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, bersempena Hari Kesihatan Sedunia pada hari ini, Dr Noor Hisham merakamkan ucapan penghargaan kepada semua petugas perubatan dan kesihatan terutamanya barisan hadapan di sektor kerajaan, swasta, sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Penghargaan juga kepada petugas di belakang tabir yang memainkan peranan penting sebagai tulang belakang dalam memastikan kesiapsiagaan dan kelancaran respons di lapangan.

“Sesungguhnya kesihatan adalah tanggungjawab kita bersama kerana setiap sektor adalah sektor kesihatan,” katanya.

Beliau berkata setiap sektor memainkan peranan masing-masing yang kritikal dalam mengurus dan membendung pandemik COVID-19 di negara ini.

Jelasnya, dalam situasi getir ini, petugas di barisan hadapan dan belakang tabir sedang bertungkus lumus dan cekal berjuang bersama-sama bagi menamatkan penularan pandemik maut itu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here