PUTRAJAYA, 8 April (Bernama) — Situasi COVID-19 di negara ini menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila jumlah pesakit yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj dari wad hari ini seramai 166 orang, melebihi jumlah kes positif baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga 12 tengah hari ini, terdapat 156 kes baharu direkodkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 4,119 kes. 

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan discaj dari wad adalah 1,487 iaitu sebanyak 36.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat pertambahan dua lagi kes kematian menjadikan keseluruhannya sebanyak 65 kematian akibat COVID-19 setakat ini.

“Kes kematian ke-64 (kes ke-2,903) merupakan wanita tempatan berumur 58 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis serta darah tinggi. Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 30 Mac lepas dan disahkan meninggal dunia pada 7 April pukul 3.20 petang.

“Kes kematian ke-65 (kes ke-1,906) merupakan lelaki warga Pakistan berumur 69 tahun, mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Sri Petaling,” katanya.

Jelasnya, mangsa berkenaan telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 9.30 pagi ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, seramai 76 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 45 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut menegur sikap masyarakat yang masih melakukan aktiviti pergerakan yang tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antaranya berkunjung ke rumah saudara-mara.

“Ini termasuk mereka yang tidak sihat serta mereka yang sedang menjalani ‘home/self surveillance’. Misalnya, bagi kes kematian ke-64, beliau dan beberapa orang lain telah meneruskan perjalanan ke luar kawasan, iaitu ke dua negeri, meskipun PKP telah dikuatkuasakan mulai 18 Mac.

“Didapati kenderaan di jalan raya juga makin meningkat. KKM khuatir sekiranya ketidakpatuhan oleh masyarakat ini akan meningkatkan lagi penularan jangkitan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata mengambil kira situasi semasa itu, KKM menggesa orang ramai supaya kekal patuh PKP kerana ia amat penting bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here