Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

Kangar 8 April — Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah rakyat Perlis perlu terus menerus mengekalkan disiplin dalam menghadapi wabak COVID-19.

Walaupun Perlis secara relatifnya masih mencatatkan bilangan kes yang rendah, namun rakyat negeri ini perlu sentiasa mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan jangan sesekali leka dan cuai mengambil mudah dalam menangani isu ini dan hendaklah secara bersama terus memiliki rasa tanggungjawab tidak kira samada jika tempoh PKP Tahap 2 berakhir pada 14 April ini atau dilanjutkan lagi ke PKP Tahap 3 dan malah seterusnya.

“Sekiranya tempoh PKP ini tidak dilanjutkan sekalipun, Saya mahu kita semua secara terus menerus mengekalkan momentum dalam mempraktikkan langkah-langkah keselamatan dan pencegahan, kebersihan serta memperhebatkan lagi disiplin diri yang tinggi bagi membuktikan rakyat Perlis adalah bermentaliti kelas pertama dalam tindakan dengan erti kata yang sebenar-benarnya”, tegas Baginda.

Demikian titah Tuanku Raja Muda Perlis selepas berkenan menerima persembahan penutup muka daripada Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM) melalui Presidennya Datuk Keith Li Zhongping pada petang semalam.

PUCM pernah melaksanakan beberapa program amal dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) di negeri Perlis sebelum ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkongsi, secara umumnya Alhamdulillah difahamkan bahawa terkini di Perlis kesemua masjid telah mematuhi 100 peratus arahan larangan mengadakan solat Jumaat dan solat berjemaah. Begitu juga, premis perniagaan yang kebanyakkannya mematuhi garis panduan PKP.

Tambah baginda, sungguhpun majoriti patuh kepada PKP, kita perlu berusaha dengan lebih keras lagi untuk terus memperbaikinya kerana terdapat segelintir yang masih membawa kenderaan melebihi seorang dan didapati juga banyak lebih gemar keluar pada waktu pagi. Justeru, rakyat diminta agar bijak merancang masa mereka dan mengurangkan lagi kekerapan keluar rumah untuk membeli barangan keperluan.

Pada masa yang sama, Tuanku Raja Muda Perlis turut menasihatkan semua pihak mengambil sikap bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan semasa krisis COVID-19 ini. Janganlah menaikkan harga barang sewenang-wenangnya, bersikap jujur berkaitan sejarah perjalanan ke luar negara semasa pemeriksaan kesihatan, tidak membuat panggilan palsu, tidak menyebar berita tidak benar di media sosial, serta tidak terlibat dengan sebarang aktiviti penipuan atas talian dan sebagainya.

Pada kesempatan itu juga, baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang bekerjasama dan berharap sama-samalah kita sering ingat-mengingati serta nasihat-menasihati secara berhemah dalam mengekang virus yang boleh membawa maut ini daripada terus merebak. – SM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here