KUALA LUMPUR, 12 Mei — Pakar minyak sawit Malaysia menggariskan beberapa penekanan termasuk aspek kos dan pendigitalan bagi membolehkan penggiat industri tempatan mengurangkan impak COVID-19 yang dijangka menyebabkan permintaan minyak makan dunia susut kira-kira 25 peratus.

Syarikat-syarikat terbabit digesa menguruskan kos masing-masing ketika tempoh sukar dan melaksanakan pendigitalan serta meningkatkan penjenamaan dan kemapanan.

“Kunci kelangsungan kita adalah pengurusan kos dan pada masa sama tidak mengecewakan para pelanggan. Minyak sawit adalah minyak masak terbaik dunia setakat ini dan kita perlu berusaha sebaik mungkin untuk memasarkannya demi manfaat tanaman itu,” kata Pengarah Urusan Sime Darby Oils Mohd Haris Mohd Arshad.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) hari ini.

Mohd Haris turut menjangkakan pemulihan penuh industri itu hanya berlaku pada suku keempat 2021 (berdasarkan hasil dapatan satu tinjauan).

Malah, katanya, industri perladangan disifatkan bernasib baik kerana masih menjana permintaan terhadap rantaian bekalan makanan global pada masa ini berbanding industri termasuk penerbangan dan pelancongan.

Malaysia juga katanya, masih dapat menjual minyak sawit walaupun pada angka lebih rendah.

“Kita perlu menguruskan jualan demi mengekalkan (aliran) tunai. Tidak dinafikan kita mahu kekal mencatat untung, tetapi pada masa sekarang aliran tunai itu jauh lebih penting,” katanya.

Seorang lagi ahli panel yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia Datuk Mohamad Nageeb Wahab berkata kerajaan perlu membantu industri perladangan dengan membenarkan lebih banyak pekerja Bangladesh berkhidmat di ladang bagi mengekalkan pengeluaran.

“Kerajaan perlu membantu kita menangani masalah kekurangan pekerja ladang dalam industri ini. Sukar untuk mendapatkan khidmat pekerja Indonesia pada masa sekarang.

“Sehubungan itu, adalah diharapkan kerajaan dapat membenarkan lebih ramai pekerja Bangladesh berkhidmat (di sektor itu). Ini perlu ditangani, mungkin bukan sekarang (ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi selepas itu,” katanya.

Mohamad Nageeb berkata penting untuk negara melakukan perubahan radikal dalam norma baharu semasa dan ia termasuk menangani isu cukai yang dialami industri ini.

Beliau menyifatkan struktur cukai dalam industri tidak responsif dari segi prestasi sebaliknya berdasarkan keperluan kerajaan

“Industri ini membayar jumlah cukai kira-kira 40 peratus kepada kerajaan dan ia bukan semata-semata berasaskan keuntungan. Bayangkan apabila anda mengalami banyak kerugian namun masih perlu membayar cukai kepada kerajaan.

“Kita perlu berbincang dengan kerajaan dan menyelesaikan perkara ini. Jika tidak, ramai daripada kami, khususnya pekebun kecil akan hilang pendapatan,” katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan program B20, beliau berkata kerajaan mungkin perlu menghentikan sementara pelaksanaan campuran bahan api daripada 20 peratus biodiesel an 80 peratus diesel.

Indonesia telah mengumumkan bahawa B40 tidak akan dijalankan dalam tempoh yang begitu cepat malah B30 juga akan terlibat.

Permintaan terhadap minyak sawit dijangka lemah manakala pengeluaran oleh pengeluar minyak sawit terbesar dunia (Indonesia dan Malaysia) juga akan meningkat di antara lima dengan 10 peratus tahun ini berikutan kemerosotan permintaan, katanya.

Stok minyak sawit Malaysia susut daripada 1.75 juta tan pada Januari 2020 kepada 1.7 juta tan pada Februari dan Mac lepas sebelum melonjak kepada 2.0 juta tan pada April.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sumwim Global UR Unnithan berkata cabaran yang dihadapi oleh industri minyak sawit pasca COVID-19 ialah pengurangan permintaan khususnya dalam perkhidmatan hotel dan makanan yang menyumbang 30 hingga 40 peratus bagi pasaran pengguna utama seperti India, China dan Kesatuan Eropah (EU).

Beliau berkata penggunaan bahan api dalam sektor pengangkutan telah berkurangan secara menyeluruh dan turut menjejaskan permintaan terhadap biodiesel.

“Bagaimanapun dari segi peluang lain dalam industri ini selepas COVID-19, kami boleh berusaha segera untuk memenuhi norma 3MCPDE/GE ditetapkan Kesatuan Eropah (EU) pada 1.25 ppm/1ppm sejajar dengan minyak sayuran lain untuk meningkatkan imej jaminan makanan,” katanya.

Unnithan turut menggesa industri untuk melabur dalam penyelidikan dan pembangunan bagi meningkatkan olein sawit dalam minyak campuran bagi penggunaan isi rumah dan membolehkan pekebun kecil berada di platform mapan sejajar dengan Agenda Pembangunan Mapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2030 (UNSDG).

Jelasnya, terdapat keperluan untuk merangka semula strategi dalam mewujudkan permintaan baharu dalam deglobalisasi dengan meningkatkan penggunaan domestik dan serantau (ASEAN) bagi makanan dan bahan api.

Mengenai unjuran harga pada tahun ini, beliau berkata ia akan bergerak antara RM1,800 dan RM2,300 satu tan.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Datuk Dr Kalyana Sundram selaku moderator sesi itu berkata minyak sawit bukanlah satu-satunya minyak makan yang mengalami tekanan berikutan senario (semasa) yang turut dialami oleh minyak lain seperti minyak soya, minyak biji sawi dan minyak bunga matahari.

“Kemerosotan permintaan serta harga di seluruh dunia akan menjadi satu perkara sejagat bagi kesemua minyak makan yang saling bersaing,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here