PUTRAJAYA, 30 Mei (Bernama) — Jumlah kes positif COVID-19 hari ini kembali mencatat dua angka dengan 30 kes, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif terkini ialah 7,762 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 30 kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 27 kes penularan tempatan, 17 kes adalah kes bukan warganegara manakala kes penularan tempatan dalam kalangan warganegara adalah 10 kes sahaja,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Tiada kes kematian dicatatkan hari ini dan jumlah kumulatif yang meninggal dunia kekal pada 115.

Susulan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,317 kes dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here