KUALA LUMPUR, 29 Mei – Gergasi teknologi, Huawei Technologies Co Ltd telah melancarkan ciptaan terbaharunya iaitu IdeaHub yang bertujuan mengintegrasikan serta melicinkan kerja dari jauh.

Naib Presiden Jualan Teknikal Kerjasama Pintar dan Visi Pintar Huawei, Pan Yong berkata produk tersebut adalah sejajar dengan arah aliran global untuk menggalakkan orang ramai bekerja dari rumah.

“Dengan ciri canggih pada produk itu, persidangan video dan kerja dari jauh tidak lagi menjadi kerumitan,” katanya semasa melancaran produk tersebut secara dalam talian bagi pasaran Asia Pasifik hari ini.

Sementara itu, Presiden Kumpulan Perniagaan Kecerdasan Buatan (AI) dan Awan Asia Pasifik Huawei, Daniel Zhou berkata produk itu akan menjadi peneraju utama dalam merubah persekitaran kerja ke arah era pintar.

“Serangan COVID-19 sejak awal tahun ini telah memaksa kita untuk bekerja dari jauh dan dengan teknologi yang betul, ia mampu melicinkan produktiviti dan meningkatkan kecekapan,” katanya. 

Beliau menambah produk yang dikeluarkan itu adalah selaras dengan permintaan yang kian meningkat ke atas komunikasi yang lebih cekap serta kemunculan teknologi seperti 5G, awan dan AI. 

Ia telah membawa kepada era baharu pejabat pintar, yang mana sesuatu pekerjaan boleh dilakukan pada bila-bila masa, di mana sahaja, katanya.

“Menggabungkan kerjasama pintar Huawei dengan kepakaran lebih daripada 20 tahun dalam penyelidikan dan pembangunan audio-visual serta teknologi awan dan 5G, akan membolehkan pengembangan video 4K dan AI dalam kombinasi dengan alat produktiviti, seterusnya, mengasaskan sebuah pejabat pintar bagi semua senario,” katanya. 

Alat kerja pintar ini akan menggabungkan tulisan tangan pintar, paparan HD, persidangan video dan pejabat terbuka AppGallery. 

Siri IdeaHub Huawei direka untuk kerjasama pasukan di bilik mesyuarat, pejabat eksekutif, pejabat terbuka dan banyak senario lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here