KUALA LUMPUR, 1 Jun — Impak daripada pandemik COVID-19 telah melumpuhkan hampir seluruh industri yang menyebabkan ekonomi global jatuh ke dalam kemelesetan, namun ia juga mengetengahkan akan kepentingan sektor pertanian, jaminan makanan dan keperluan bagi perancangan yang betul sera rantaian bekalan yang terjamin yang mampu berfungsi dalam apa jua situasi.

Walaupun sektor pertanian dikecualikan daripada sekatan pergerakan di mana-mana juga negara, ia masih berdepan cabaran berikutan penurunan permintaan serta kekurangan logistik, penyimpanan dan tenaga kerja yang mengakibatkan kerugian yang amat besar. 

“Penutupan pasar, restoran, perniagaan makanan dan minuman telah menjejaskan permintaan yang menyebabkan penurunan pembelian dan jualan,” kata Ahli Ekonomi Universiti Sunway Profesor Dr Yeah Kim Leng.

Beliau berkata, kita pastinya tidak melupakan bagaimana pengeluar buah-buahan dan sayur-sayuran di Cameron Highlands, Pahang, yang mengeksport lebih 40 peratus hasil tanaman mereka ke Singapura, Brunei dan Hong Kong, terpaksa membuang kubis, daun bawang, kubis bunga, cendawan dan buah strawberi ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bertujuan membendung penularan COVID-19. 

Gangguan bekalan itu juga disebabkan oleh kurangnya kejelasan maklumat yang menyaksikan aktiviti pengangkutan terhenti dan menyebabkan kesesakan pengedaran serta lebihan di pusat bekalan. 

Namun insiden seumpana itu bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja, di Belanda misalnya, peladang bunga tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa memusnahkan 140 juta bunga Tulip kerana pandemik itu telah menjejaskan permintaan, manakala di India tanaman seperti gandum dan biji sawi yang dituai pada musim Rabi (Mac/April) berdepan tempoh sukar.

Justeru itu, krisis ini telah menyedarkan kita akan kepentingan untuk meningkatkan daya tahan isi rumah berpendapatan rendah, memastikan jaminan makanan dan mengukuhkan rantaian bekalan makanan serta pertanian dalam berdepan bencana alam dan kejutan budaya lain, kata Yeah. 

Langkah-langkah untuk meningkatkan pendapatan pertanian di kawasan luar bandar perlu disertakan dengan cara untuk memodenkan sektor pertanian, meningkatkan produktiviti dan tokokan nilai menerusi kemahiran perladangan canggih dan tekologi serta menyepadukannya dengan ekonomi digital menerusi kesalinghubungan dipertingkatkan, jelasnya.

“Meningkatkan produktiviti, pendapatan dan standard hidup penduduk luar bandar yang sebilangan besarnya bergantung kepada pertanian adalah penting dalam usaha untuk mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dalam dan antara kumpulan etnik serta merapatkan jurang bandar-luar bandar selain mengukuhkan jaminan makanan jangka panjang negara dan kemampanan ekonomi,” katanya. 

Sebagai contoh, akses ke pasaran baharu seperti penghantaran hasil segar ladang dari Sabah ke Semenanjung yang berlaku semasa PKP akan membantu merangsang pertumbuhan pertanian dan meningkatkan pendapatan isi rumah di kawasan luar bandar Sabah dan seluruh negara. 

“Memandangkan makanan adalah satu keperluan, kejutan permintaan adalah kurang berbanding produk bukan penting. Meskipun ekonomi global serta Malaysia bakal berdepan kemelesetan tahun ini, sektor makanan dan pertanian akan kurang menerima kesannya kerana ia merupakan keperluan asasi,” katanya.

Yeah juga berkata walaupun sektor perkhidmatan dan pembuatan yang secara kolektifnya menyumbang 80 peratus kepada ekonomi akan terus menjadi enjin pertumbuhan negara dalam pemulihan ekonomi pada 2021, sektor pertanian juga tidak kurang pentingnya dalam menyumbang kepada pemulihan. 

“Sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi agak kecil pada tujuh peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tetapi ia sangat penting dari perspektif pekerjaan, sosial dan jaminan makanan. Sektor itu menyumbang 12 peratus daripada jumlah pekerjaan negara,” katanya.

Sektor tersebut juga menyumbang kepada pertumbuhan lebih kukuh serta pempelbagaian bagi berdepan kejutan dalam mana-mana sektor tertentu seperti minyak dan gas yang terjejas akibat daripada penurunan harga dan permintaan, katanya. 

Bagaimanapun, cabaran segera bagi pengeluar pertanian adalah perubahan dalam tingkah laku pengguna serta permintaan dan kuasa beli rendah disebabkan pemberhentian pekerja dan kekurangan keyakinan pengguna.

Berikutan itu kerugian pendapatan daripada pengeluaran pertanian di Malaysia dianggarkan sebanyak RM0.5 bilion, berdasarkan pengeluaran tahun lepas, semasa era pasca COVID-19. 

Bagi ternakan dan pertanian lain, anggaran kerugian adalah antara RM100 juta hingga RM150 juta manakala bagi perikanan laut dan akuakultur, kerugian adalah antara RM20 juta hingga RM40 juta sehari.

“Ini adalah kerugian berasaskan nilai pasaran. Kos input peladang dan nelayan adalah kira-kira 20 peratus dan selebihnya dalam bentuk gaji dan keuntungan sebelumnya,” katanya.  

Sokongan utama terhadap sektor pertanian akan datang daripada golongan muda negara yang semakin berkembang serta penekanan berterusan oleh kerajaan bagi meningkatkan kecukupan diri makanan, mengekalkan harga makanan rendah dan memastikan jaminan makanan jangka panjang, kata Yeah. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here