KUALA LUMPUR, 15 Jun — Kalangan penggiat industri sarung tangan berkemungkinan menjadi tumpuan semula berikutan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku gelombang kedua pandemik COVID-19, demikian menurut Malacca Securities hari ini.

Menurut firma pembrokeran itu, penyusutan harga saham syarikat pengeluar sarung tangan getah baru-baru ini menunjukkan berlakunya penarikan diri pelabur namun permintaan terhadap produk-produk dan perkhidmatan berkaitan penjagaan kesihatan diunjurkan meningkat pada masa-masa akan datang.

“Peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang pada masa ini menghampiri 8.0 juta dan lebih 400,000 kematian, terus mengekang pemulihan ekonomi global.

“Jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital turut meningkat sejak beberapa hari lepas di beberapa bahagian dunia, sekali gus mencetuskan kebimbangan berlakunya gelombang kedua jangkitan pandemik itu,” kata firma itu dalam nota penyelidikannya hari ini.

Pada 10.10 pagi ini, Top Glove susut 10 sen kepada RM16.80, Supermax berkurangan 27 sen kepada RM7.64, Rubberex sebaliknya menokok empat sen kepada RM3.18 dan Comfort Glove naik satu sen kepada RM2.94. 

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here