PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) — Kes baharu COVID-19 hari ini kekal mencatatkan satu angka iaitu enam kes, dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan 244 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan kes baharu itu, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 8,596 kes, selain tiada kematian dicatatkan menjadikan jumlah maut akibat wabak itu kekal 121 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada enam kes baharu yang dilaporkan, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan satu warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 45 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad kepada 8,231 kes atau 95.8 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes.

Sementara itu terdapat tiga kluster baharu dikesan iaitu Kluster Kondominium Hulu Langat; Kluster Bukit Bintang; dan Kluster Tapak Pembinaan Kuching. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here