PUTRAJAYA, 10 Julai — Penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan tanpa penonton bagi sukan tiada bersentuhan fizikal seperti sukan permotoran dan sukan individu dibenarkan mulai 15 Julai ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya ia termasuk perlumbaan permotoran seperti lumba motosikal dan kereta di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan litar-litar lain, kejohanan badminton perseorangan, tenis perseorangan, gimnastik perseorangan, terjun papan anjal dan kejohanan catur.

Beliau berkata mulai tarikh sama, aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal seperti sukan berpasukan termasuk bola sepak, ragbi, bola keranjang, sepak takraw serta sukan tempur seperti karate, silat dan taekwondo juga dibenarkan.

“Serentak dengan itu, pengusaha-pengusaha padang komersial, operator gelanggang futsal, fasiliti sukan dan akademi juga dibenarkan beroperasi semula bermula 15 Julai 2020,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini. 

Beliau berkata kerajaan membenarkan pembukaan sektor sukan dan rekreasi bagi Fasa 3 dan Fasa 4 itu serta penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan tanpa penonton, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here