KUALA LUMPUR, 28 Julai: Ribuan penyokong Najib Razak berkumpul di perkarangan Mahkamah Jalan Duta hari ini untuk bersolidariti kepada bekas perdana menteri itu yang akan mengetahui nasibnya terhadap pendakwaan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Mereka lengkap memakai baju biru dan merah tertulis “bossku” sambil melaungkan “hidup bossku” dan “kita sayang bossku”.

Difahamkan, penyokong yang hadir terdiri daripada akar umbi Barisan Nasional (BN), Umno, MIC dan MCA yang mula berkumpul sejak jam 5 pagi.

Antara pemimpin yang hadir Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan, bekas Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman, dan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Turut hadir memberi sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chini Mohd Sharim Md Zin dan bekas Menteri Besar Perak Zambry Abdul Kadir selain penyokong Najib dari Pekan, Pahang yang menaiki bas.

“Kami harap keputusan hari ini memihak kepada Najib,” kata Mohamad Khairul dari Chini.

Sementara itu, Napisah Mohamad berkata apa saja keputusan hari ini mereka terima dan berharap ia diputuskan dengan adil.

“Apa saja keputusan hari ini kami terima, memang kita harapkan ia memihak kepada Najib, tapi apa pun keputusan itu nanti biarlah adil dan selaras undang-undang,” katanya.

Seorang lagi penyokong Najib yang mahu dikenali Wong berharap keputusan hari ini tidak dibuat atas dasar politik sebaliknya mengikut undang-undang.

Najib tiba jam 9.30 pagi berarak bersama penyokong dari Masjid Wilayah ke kompleks mahkamah.

Pintu pagar utama kompleks mahkamah ditutup dan jalan utama dikawal ketat polis.

Kumpulan penyokong turut mengaminkan doa sebelum Najib memasuki Kompleks mahkamah yang diakhiri laungan takbir.

Keadaan di luar bangunan mahkamah juga sesak dan penyokong dilihat sukar melakukan penjarakan sosial.

“Kita minta semua jarak, jangan duduk rapat-rapat, kita bimbang dan tidak mahu ada kluster baru Covid-19 nanti, minta tolong semua, amalkan jarak,” kata seorang penyokong yang beberapa kali mengulangi amaran itu.

Sementara itu, Ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunus ketika ditemui mengakui sukar untuk memastikan penyokong melakukan penjarakan sosial.

“Mereka datang secara suka rela, ada juga datang dari kawasan-kawasan sebab itu ada yang datang dengan bas. Memang kita akui sukar untuk mereka melakukan penjarakan sosial, ada yang patuh ada yang tidak patuh, sebab itu kita nasihat mereka cukup sekadar beri sokongan di media sosial, sebab kita tidak mahu mereka berkumpul dalam jumlah yang ramai.

“Tapi semua tahu Najib bukan pemimpin biasa-biasa, beliau ada pengikut tersendiri, ikutkan ramai lagi hendak datang tapi sebab Covid-19 jumlahnya ini saja,” katanya sambil memaklumkan ada yang mahu datang secara konvoi bermotosikal tetapi tidak dibenarkan kerana bimbang risiko jangkitan.

Najib berdepan 3 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), 3 pertuduhan pengubahan wang haram dan 1 pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletak di bawah Kementerian Kewangan.

Najib, perdana menteri ke-6 dari 2009 hingga 2018, menjadi ketua negara pertama di Malaysia yang diheret ke mahkamah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here