KUALA LUMPUR, 29 Julai  — Malaysia melaksanakan tugas sangat baik dalam meratakan lengkung penularan COVID-19 dan kesempatan itu seharusnya digunakan untuk mempromosikan pelancongan kesihatan ke tahap paling maksimum, kata seorang bekas diplomat.

Bekas duta Jerman ke Malaysia Nikolaus Graf Lambsdorff yang bersara pada Jun lalu yakin seluruh sistem kesihatan Malaysia sudah melepasi cabaran COVID-19 dengan cemerlang. 

“Ia mengejutkan mereka yang berada di luar Malaysia. Tetapi tidak kepada saya kerana saya sudah tahu bahawa kemajuan sistem kesihatan di Malaysia sangat bagus. 

“Sekarang, bercerita tentangnya. Jual dan tunjukkan kepada dunia apa yang anda tawarkan di sini. Anda mempunyai doktor dan jururawat terlatih, hospital yang dikendalikan dengan baik,” katanya kepada Bernama. 

Lambsdorff berkata Malaysia akan kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik kepada syarikat-syarikat Jerman biarpun ekonomi di dunia kian perlahan, kerana ia menawarkan pelbagai kelebihan. 

Katanya, antara faktor syarikat Jerman meneruskan pelaburan di sini sejak beberapa dekad adalah kerana persekitaran mesra perniagaan yang ada di Malaysia.

Lambsdorff yang melalui pengalaman tiga pemerintahan berbeza  dan berada tiga tahun di Malaysia, berkata kesemua kerajaan mengamalkan mesra perniagaan dan itu sangat penting kepada pelabur asing jangka panjang.

Ujarnya, Malaysia adalah penerima pelaburan langsung asing (FDI) terbesar Jerman di Asia Tenggara, terutamanya dalam bidang pembuatan dan teknologi tinggi. Sebilangan besar syarikat ini berpangkalan di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.

Terdapat sekitar 400 syarikat Jerman beroperasi di sini, memandangkan semakin banyak  syarikat Jerman menjadikan Malaysia sebagai hab serantau untuk Asia Tenggara dan selainnya. 

Antara syarikat Jerman yang terkenal dengan kemudahan pembuatan di Malaysia ialah Osram, Bosch Group dan B. Braun.

Beliau berkata disebabkan COVID-19, syarikat Jerman menghadapi masalah berikutan penutupan sempadan antarabangsa. 

“Untuk melabur, anda memerlukan pakar dan orang lain yang boleh melakukan perjalanan masuk dan keluar dari Malaysia seperti sebelum COVID-19. Banyak syarikat  tidak sabar untuk keadaan kembali seperti biasa kerana jika tidak, mereka perlu terus menangguhkan pelaburan,”katanya.

Lambsdorff berkata masalah itu tidak hanya berlaku di Malaysia, semua negara di seluruh dunia sedang berjuang untuk seimbangkan antara kesejahteraan penduduk dan perniagaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here