KUALA LUMPUR 7 Ogos: Polis selesai merakam keterangan 9 individu berhubung kes perhimpunan penyokong bekas perdana menteri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini pada 28 Julai lepas.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut mereka yang selesai memberi keterangan, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, siasatan kes telah lengkap dan kertas siasatan dihantar ke pejabat pendakwa raya Kuala Lumpur Rabu lepas.

Beliau berkata, kertas siasatan dihantar bagi mendapatkan nasihat dan arahan lanjut mengenainya.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan, iaitu menyertai perhimpunan haram dan Peraturan 3 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.7) 2020,” katanya di Bukit Aman, hari ini.

Pada 28 Julai lepas, ramai penyokong Najib yang berhimpun di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mengikuti perkembangan keputusan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dilihat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dan penjarakan fizikal.

Tindakan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terhadap risiko penularan Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here