KUALA LUMPUR, 8 Ogos: Ringgit dijangka meneruskan pengukuhan berbanding dolar AS minggu depan dipacu oleh angka kadar pengangguran lebih positif, data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2020 lebih baik berbanding jangkaan serta kelemahan dolar AS, kata peniaga.

Walaupun begitu, pelabur akan mengikuti rapat perbincangan perdagangan antara pegawai tinggi Amerika Serikat (AS) dan China, yang dijadualkan pada 15 Ogos untuk meneliti semula pelaksanaan perjanjian perdagangan fasa 1 yang dimeterai pada pertengahan Januari.

Ketua pakar strategi pasaran global, AxiCorp, Stephen Innes berkata, ringgit dijangka kekal menjadi pilihan pelabur memandangkan hasil sebenar AS terus merosot.

Beliau berkata, ringgit/dolar AS akan diniagakan secara agresif dalam julat 4.1750 hingga 4.1950 minggu depan, dengan paras rendah dijangka melebihi garis aliran jangka panjang.

Bagaimanapun sekiranya China mengesahkan kembali komitmennya untuk meningkatkan import kacang soya dan tenaga dari AS, ini sekali gus menjadi persekitaran yang tidak menggalakkan bagi ringgit dan mungkin mempengaruhi prestasinya pada minggu berikutnya.

“Memandangkan kemelesetan ekonomi membelenggu ekonomi AS, maka negara itu masih tidak dijangka menolak perjanjian perdagangan berkenaan.

“Jadi situasi itu mewujudkan keadaan yang kurang negatif bagi mata wang seperti ringgit. Secara keseluruhan, kita akan menyaksikan permintaan semasa mata wang selamat, iaitu ke atas dolar AS berkurangan, yang sebaliknya akan memacu ringgit,” katanya.

Bank Negara Malaysia dijadualkan mengumumkan prestasi KDNK suku kedua 2020 pada 14 Ogos.

Penggiat pasaran menjangkakan angka KDNK rendah memandangkan pandemik Covid-19 mengakibatkan ekonomi ditutup sebahagiannya dalam tempoh tersebut.

Namun mereka yakin prestasi KDNK tetap lebih baik jika dibandingkan dengan negara lain kerana Malaysia melonggarkan sekatan pergerakan lebih awal apabila berjaya mengekang peningkatan kes baru Covid-19.

Ringgit ditutup tinggi secara ketara berbanding dolar AS pada 4.1830/1900 pada Jumaat daripada 4.2380/2420 pada Khamis minggu lepas.

Pasaran ditutup pada Jumaat lepas susulan cuti umum sempena sambutan Aidiladha.

Mata wang tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0499/0562 daripada 3.0806/0849 pada Khamis minggu lepas dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.9589/9667 daripada 4.0350/0400.

Unit tempatan juga stabil berbanding pound Britain kepada 5.4755/4864 daripada 5.5102/5176 minggu lepas dan tinggi berbanding euro kepada 4.9426/9517 daripada 4.9826/9882.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here