PUTRAJAYA, 18 Ogos — Terbitan Sukuk Prihatin bernilai RM500 juta yang dilancarkan hari ini adalah hasil semangat yang ditunjukkan rakyat yang ingin turut serta membantu memacu semula ekonomi negara selepas terjejas akibat penularan COVID-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berikutan itu, katanya kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan pendekatan secara ‘bottom-up’ untuk menerbitkan Sukuk Prihatin, yang membuka peluang langganan kepada orang awam dan pihak korporat.

“Usaha ini merupakan suatu bentuk penyatuan sumber yang mencerminkan solidariti rakyat Malaysia dalam membina semula ekonomi negara,” kata Muhyiddin pada majlis pelancaran Sukuk Prihatin itu di sini. Hadir sama ialah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Pelancaran Sukuk tersebut disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut berkenan untuk menjadi pelabur terawal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here