KUALA LUMPUR, 22 Ogos– Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka bergerak sejajar dengan kadar asas pasaran tunai minggu depan. 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata FBM KLCI dijangka bergerak antara 1,550 dan 1,600 mata pada minggu akan datang berikutan kekurangan petunjuk baharu dari peringkat luaran dan tempatan.

“Satu-satunya data ekonomi utama yang akan dikeluarkan minggu depan ialah data perdagangan bagi Julai, yang dijangka akan menunjukkan pertumbuhan eksport yang berterusan,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran tempatan dibuka selama empat hari berikutan Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup pada Khamis sempena sambutan Maal Hijrah. 

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, bulan semerta Ogos 2020 meningkat 11.5 mata kepada 1,572.0, September 2020 dan Disember 2020, masing-masing naik 12.0 mata kepada 1,564.5 dan 1,557.0, manakala Mac 2021 naik 12.5 mata kepada 1,546.5. 

Jumlah dagangan merosot kepada 40,791 lot daripada 44,967 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka naik kepada 39,741 kontrak daripada 38,167 kontrak sebelum ini.

FBM KLCI ditutup tinggi 12.53 mata kepada 1,577.12 pada Jumaat, berbanding 1,564.59 pada Jumaat sebelumnya.

— BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here