KUALA LUMPUR, 24 Ogos — Pengauditan Jabatan Audit Negara terhadap Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mendapati jabatan itu telah membuat lebihan bayaran balik terhadap tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi 2019 berjumlah RM4.38 juta. 

Susulan itu, Jabatan Audit Negara mengesyorkan supaya JKDM menjalankan siasatan ke atas syarikat yang membuat tuntutan dan pegawai yang bertanggungjawab.

Menurut laporan itu, semakan Audit mendapati sebanyak 75 daripada 100,736 tuntutan bayaran balik GST berjumlah RM4.38 juta telah dibayar walaupun permohonan diterima selepas tempoh ditetapkan.

“Pihak Audit mendapati perkara ini berlaku kerana pegawai yang bertanggungjawab tidak menyemak tarikh terimaan Penyata GST-03 sebaliknya melaksanakan proses pembayaran balik mengikut fail tugasan yang diserahkan.

“Kesilapan ini pembayaran ini menyebabkan ketirisan hasil kepada kerajaan sekiranya tidak dikutip semula. JKDM juga disyorkan agar membuat kutipan balik bayaran terkhilaf daripada Orang Kena Cukai (OKC) itu pada kadar segera,” demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1 yang dikeluarkan hari ini.

Bagaimanapun, berdasarkan maklum balas yang diterima pihak Audit pada 29 Mei 2020, JKDM telah mengambil tindakan menuntut semula tuntutan terkhilaf bayar itu yang melibatkan 75 transaksi bagi penyata yang diterima pada Jan-Mei 2019.

Hasil tindakan JKDM menyaksikan sejumlah 48 transaksi telah dikeluarkan membabitkan bil tuntutan berjumlah RM3.98 juta setakat 28 Mei 2020 manakala 27 transaksi dalam tindakan tuntutan semula.

Dalam maklum balas diterima pada 4 Ogos 2020, JKDM memaklumkan bahawa 42 transaksi bil tuntutan telah selesai dipungut berjumlah RM798,453.64 sehingga 3 Ogos 2020.

Seksyen 8 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 menetapkan OKC dikehendaki mengemukakan penyata terakhir dan mengakaunkan semua pembekalan yang telah dibuat. 

Penyata akhir dan bayaran GST hendaklah dikemukakan tidak lewat daripada 120 hari iaitu pada 31 Dis 2018 (dari tarikh yang ditetapkan iaitu 1 Sept 2018). Selain itu, Seksyen 8(1), menyatakan bahawa sebarang tuntutan cukai hendaklah dibuat dalam penyata akhir yang ditetapkan pada 31 Dis 2018.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here