KUALA LUMPUR, 24 Ogos — Zodiac (China) Applied Science and Technology Research Centre Ltd merancang untuk membuat pelaburan awal sebanyak RM1.5 bilion, sebagai sebahagian daripada pelan yang lebih besar bagi pengeluaran dan pembangunan cip 5G serta teknologi pengkapsulan di Malaysia.

Zodiac, yang merupakan perusahaan berteknologi tinggi dengan rekaan litar bersepadu frekuensi tinggi (IC) serta memiliki keupayaan ujian, pembungkusan dan teknologi pengeluaran serta reka bentuk sistem penerimaan satelit sedang merancang bagi membina fasiliti pengeluaran kedua di atas tanah seluas 202.34 hektar di Malaysia.

“Cip satelit kumpulan itu menjadi jualan yang paling tinggi di dunia dan sentiasa menjadi pilihan industri disebabkan kecanggihan teknologinya. Bagi menangani keperluan pasaran serta respon antarabangsa, kumpulan berhasrat untuk menubuhkan fasiliti pengilangan kedua di Malaysia bagi membangunkan cip 5G dan pengkapsulan,” kata Pengerusi Kumpulan Zodiac, Datuk Chu Boon Tiong.

“Fasa pertama fasiliti pengeluaran itu akan dibina di atas sebidang tanah, berukuran 500 ekar (202.34 hektar), dengan pelaburan awal sebanyak RM1.5 bilion,” katanya.

Zodiac telah menyusun pelan susun atur strategik dan penyusunan semula termasuk strategi pembangunannya yang baharu bagi menangani keperluan untuk mengurangkan risiko berikutan krisis Amerika Syarikat (AS) – China dan pandemik COVID-19. Fasiliti pertama syarikat itu yang terletak di Quanzhou, Fujian, China, telah beroperasi sejak 2018. 

Pemilihan Malaysia sebagai destinasi pelaburan adalah disebabkan persekitarannya yang memberangsangkan, infrastruktur dan sistem kewangan yang baik dan mantap, ditambah pula dengan lokasi strategik Malaysia, yang mana ini akan membolehkan Zodiac mewujudkan sambungan rangkaian perindustrian global yang unggul.

Selain daripada faktor-faktor tersebut, Zodiac juga menerima sokongan kerajaan negeri di lokasi pelaburan, yang membabitkan galakan ke atas eksport produk siap dan beberapa kelebihan lain.

Berdasarkan kepada pemangkin di atas, kumpulan menjangkakan kapasiti pengeluaran masa depan akan melangkaui US$20 bilion (kira-kira RM84 bilion), katanya.

Keputusan untuk melabur di Malaysia telah dibuat selepas mengambil kira permintaan serantau terhadap produk Zodiac dalam masa terdekat, dan memahami bagaimana pelaburan ini boleh meningkatkan daya saing kumpulan di pasaran antarabangsa. Pelaburan ini juga dijangka akan menyaksikan peningkatan yang besar dalam bidang kawalan kos, kos pengeluaran dan kecekapan keseluruhan. 

Serentak dengan keputusan pelaburan di Malaysia, kumpulan juga telah merekodkan kejayaan dalam batasan 5G untuk komunikasi mudah alih generasi kelima, dan sekarang, ia sedang beranjak ke arah pembangunan teknologi generasi keenam, teknologi canggih ini akan menyemai benih kemajuan kumpulan pada masa hadapan.

Untuk tujuan ini, Zodiac akan melabur kira-kira US$600 juta (RM2.5 bilion) dalam masa terdekat bagi membangunkan sistem komunikasi generasi keenam, yang akan menjadi pemangkin untuk peringkat kedua dalam penyelidikan dan pelaburan 6G.

Zodiak telah menerima sokongan kewangan dan teknikal dari Hong Kong Blue Mountain Group dan Hong Kong Headway Technology Holdings Co., Ltd untuk pembangunan teknologi 6G. 

Sementara itu, kumpulan juga telah bekerjasama dengan syarikat perhubungan awam dan strategi, Opustique Infinity Co. Ltd bagi menyediakan sokongan dan nasihat yang diperlukan Zodiac.

Bercakap mengenai pembangunan 6G, Chu berkata: “Kumpulan dan subsidiarinya mempunyai pengalaman berdekad yang kaya dan unik dalam teknologi pembangunan cip termaju. Teknologi pembuatan cip yang maju serta pengkapsulan generasi kelima untuk teknologi telah memecah sempadan had 5G, dan kini sedang beralih ke arah pembangunan 6G.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here