KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) — Sebanyak 417 atau 32.28 peratus daripada 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang telah pulih sepenuhnya setakat 6.30 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata baki 875 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.

Beliau berkata daripada tujuh wilayah terlibat, hanya dua wilayah iaitu Kuala Lumpur dan Kuala Langat masih belum mencapai angka peratus pemulihan (sifar peratus).

“Hulu Selangor mencatatkan peratus pemulihan bekalan air tertinggi iaitu 94.12 peratus, diikuti Kuala Selangor (91.7 peratus); Petaling (37.17 peratus); Gombak (11.31 peratus) dan Klang/Shah Alam (7.91 peratus).

“Usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke kawasan yang masih terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Elina berkata Air Selangor turut memohon kerjasama pelanggan yang telah menerima bekalan agar menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

Katanya, Air Selangor turut menyediakan pili awam dan Pusat Khidmat Setempat bagi pengguna untuk mendapatkan bekalan air bersih.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here