PUTRAJAYA, 8 Sept — Ketibaan seramai 4,252,997 pelancong antarabangsa telah direkodkan bagi separuh tahun pertama tahun 2020 iaitu penurunan sebanyak 68.2% berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Sebagai perbandingan, Malaysia telah menarik seramai 13.3 juta pelancong antarabangsa dari bulan Januari hingga Jun 2019.

Perbelanjaan pelancong bagi separuh tahun pertama 2020 merekodkan RM12.5 billion, iaitu penurunan sebanyak 69.8% berbanding RM41.6 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019. Perbelanjaan per kapita turut mencatat penurunan sebanyak 5.3% dari RM3,121.60 pada tahun 2019 ke RM2,956.10 pada tahun ini.

Sepuluh pasaran utama ke Malaysia adalah Singapura (1,541,820), Indonesia (702,082), China (401,285), Thailand (348,133), India (153,873), Brunei (135,593), Korea Selatan (118,594), Jepun (73,201), Australia (72,103) dan Filipina (64,311).

Sektor pelancongan negara telah merekodkan perkembangan negatif bagi setiap pasaran mengikut rantau iaitu pasaran jarak dekat atau ASEAN (-69.1%), pasaran jarak sederhana (-69.0%) dan pasaran jarak jauh (-58.8%).

Ketibaan pelawat harian (excursionists) di Malaysia pula mencatatkan sejumlah 1,712,140 pelancong dari bulan Januari hingga Jun 2020, iaitu penurunan sebanyak 64.2% berbanding dengan 4,782,587 orang yang telah melawat Malaysia bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

Penurunan yang ketara bagi jumlah ketibaan pelancong dan pelawat harian ini adalah disebabkan oleh faktor penutupan pintu-pintu sempadan Malaysia berikutan penularan pandemik Covid-19. Selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan virus Covid-19 sebagai satu pandemik pada 11 Mac, kerajaan Malaysia telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang kemasukan pelancong antarabangsa sejak 18 Mac.

Kesan pandemik kepada sektor pelancongan turut dilihat di luar sempadan Malaysia, di mana negara-negara ASEAN lain juga merekodkan penurunan mendadak dari segi pencapaian pelancongan. Menurut sumber dari Pacific Asia Travel Association (PATA), negara-negara jiran termasuk Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia, juga mencatatkan pertumbuhan negatif disebabkan larangan perjalanan antarabangsa yang dikuatkuasakan oleh kerajaan dalam usaha membendung penularan pandemik di negara masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here