Home Berita Lain CGS-CIMB Research naikkan unjuran harga MSM 2020 kepada RM2,500 setan metrik

CGS-CIMB Research naikkan unjuran harga MSM 2020 kepada RM2,500 setan metrik

KUALA LUMPUR, 11 Sept  — CGS-CIMB Research menaikkan unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) 2020 kepada RM2,500 setan metrik daripada RM2,300 setan metrik susulan harga yang lebih baik daripada dijangkakan.

Kenaikan baru-baru ini menyaksikan harga meningkat sehingga setinggi RM2,936 setan metrik pada 3 Sept daripada paras terendahnya tahun ini pada RM2,021 setan metrik pada 12 Mei.

Firma penyelidikan itu dalam notanya hari ini berkata ini disebabkan oleh kebimbangan terhadap inventori terhad global apabila bekalan suku kedua Indonesia lebih rendah daripada yang dijangkakan.

Bagaimanapun, ia berkata peningkatan harga itu memburukkan lagi daya maju ekonomi biodiesel yang mungkin menjejaskan pelaksanaan program B30 biodiesel di Indonesia tahun depan.

CGS-CIMB Research juga menaikkan unjuran bekalan minyak sawit tahun ini bagi Malaysia sebanyak dua peratus kepada 19.48 juta tan metrik daripada 19.1 juta tan metrik sejajar dengan peningkatan pengeluaran.

Pengeluaran meningkat tiga peratus bulan ke bulan berikutan aliran bermusim dan dua peratus tahun ke tahun kepada 1.86 juta tan metrik bulan lepas.

Bagaimanapun, ia susut lima peratus tahun ke tahun kepada 12.7 juta tan metrik dalam tempoh lapan bulan pertama 2020 berikutan pengeluaran yang lemah pada suku pertama.

“Kami menganggap angka ini di atas daripada unjuran tahun penuh kami pada 19.1 juta tan metrik kerana tempoh lapan bulan pertama menyumbang 67 peratus daripada unjuran tahun penuh 2020 kami berbanding purata 63 peratus,” kata CGS-CIMB Research.

Firma penyelidikan itu juga menjangka stok minyak sawit meningkat dua peratus bulan ke bulan kepada 1.73 juta tan metrik pada akhir bulan ini dan pengeluaran naik dua peratus, manakala eksport dijangka meningkat satu peratus.

“Kami menjangkakan permintaan terhadap minyak sawit bagi penggunaan makanan bertambah baik menjelang sambutan festival pertengahan musim luruh pada 1 Okt (di China) dan pemulihan permintaan daripada sektor hotel, restoran dan kafe,” kata frima itu.

— BERNAMA

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version