PUTRAJAYA, 2 Okt : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipantau 5 panel bebas bagi memastikan agensi itu telus tanpa campur tangan mana-mana pihak sekali gus memberi keyakinan kepada rakyat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata panel pertama merupakan panel penasihat yang bertanggungjawab menasihati dari segi dasar dan perjalanan SPRM manakala panel ke-2 ialah panel penilaian operasi yang memantau kes-kes SPRM termasuk memberi pandangan untuk sesuatu kes sebelum ditutup atau diteliti semula sekiranya mereka tidak berpuas hati.

Panel ke-3 pula adalah panel pencegahan dan pemeriksaan yang menasihati tentang aktiviti pencegahan dan aktiviti pendidikan masyarakat SPRM manakala panel ke-4 merupakan jawatankuasa aduan yang memantau salah laku yang dilaporkan terhadap pegawai SPRM.

“Boleh dikatakan kami (SPRM) terbuka kepada sebarang aduan yang melibatkan salah laku pegawai kami.

“Panel terakhir ialah Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang melihat pencapaian SPRM sepanjang tahun dan membentangkan serta memberi nasihat kepada perdana menteri tentang prestasi SPRM pada tahun yang berkenaan,” katanya.

Azam berkata dengan wujudnya panel bebas yang bukan daripada pegawai kerajaan itu juga, boleh dikategorikan sebagai wakil kepada rakyat bagi memantau SPRM dari semasa ke semasa.

Beliau berkata masyarakat mahukan SPRM bertindak dengan cekap, profesional dan adil dalam mengendalikan kes-kes melibatkan rasuah dan salah guna kuasa.

“Saya tidak mahu mengatakan bahawa kami ini sempurna dalam menjalankan tugas kerana dalam isu-isu yang masyarakat timbulkan, SPRM sehabis baik akan cuba tanganinya. Contohnya, isu rasuah akibat pencemaran sungai dan dakwaan pencerobohan tanah haram,” katanya.

SPRM menyambut ulang tahun ke-53 pada 1 Okt sejak ditubuhkan pada 1967 dan badan itu sebelum ini pernah dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum menjadi suruhanjaya bebas pada 2009 dengan nama SPRM.

Suruhanjaya itu juga pernah menjadi agensi khas yang ditubuhkan bagi menjalankan penyiasatan dan penguatkuasaan di bawah polis dan pernah diletakkan sebagai unit khas di bawah Jabatan Perdana Menteri dalam memberi pendidikan dan kempen antirasuah kepada masyarakat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here