PETALING JAYA, 8 Okt: Seorang Adun Selangor cuba meredakan kebimbangan susulan kluster baharu Covid-19 dikesan di Puchong, semalam.

Dalam catatan di Facebook, Adun Kinrara, Ng Sze Han berkata kluster itu dinamakan ‘Bah Puchong’ berikutan individu terbabit pulang dari Sabah dan tinggal di Puchong.

“Dia menjalani kuarantin di rumah, tetapi saudara-maranya di Perak datang melawat dan tinggal bersamanya dan mereka juga positif (Covid-19).

“Semua pesakit kini dirawat di hospital dan semua kontak rapatnya telah dikesan. Kekal tenang, pakai pelitup muka, jaga jarak fizikal dan selalu cuci tangan,” katanya sambil menambah tiada apa-apa yang “serius” tentang kluster baharu di daerah itu.

FMT telah menghubungi Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah untuk mendapatkan pengesahan.

Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan kluster Bah Puchong dikenal pasti di Selangor iaitu di daerah Petaling dan di Perak iaitu di Larut, Matang dan Selama serta Kinta.

“Kes indeks bagi kluster ini (kes ke-13,061, kes ke-13,065 dan kes ke-13,069) dikenal pasti positif Covid-19 pada 5 Oktober lalu hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).”

Katanya, ketiga-tiga mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Hisham berkata, susulan itu saringan kontak rapat dijalankan dan 2 lagi kes positif Covid-19 di Perak iaitu di Larut, Matang dan Selama serta Kinta dikenal pasti.

Setakat ini, 39 individu dalam kluster itu telah disaring dengan 34 masih menunggu keputusan ujian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here