Home Berita Lain Keselamatan makanan terus jadi perhatian ketika norma baru

Keselamatan makanan terus jadi perhatian ketika norma baru

PETALING JAYA, 8 Okt: Ahli akademik berkata menjamin keselamatan makanan semakin penting berikutan impak Covid-19 ke atas ekonomi, sambil menambah banyak keperluan perlu dibuat sebagai persiapan menghadapi wabak dan krisis kesihatan di masa depan.

Kelewatan eksport makanan dari luar negara dan pembelian panik oleh rakyat yang kebimbangan menyebabkan pasar raya kekurangan bekalan asas seperti roti dan tepung. Ia menyaksikan peruncit terpaksa menunggu stok masuk.

Kekurangan dalam keselamatan makanan amat menjejaskan golongan miskin berikutan kekurangan akses dan wang untuk membeli makanan apabila ia menjadi terhad.

Menurut Sarena Che Omar, rakan penyelidik kanan di Institut Penyelidikan Khazanah, menjamin makanan ruji tersedia dan murah sangat mustahak ketika krisis melanda.

“Orang yang kurang upaya, ada masalah mengakses pasar raya, mengalami masalah kewangan, atau tak boleh beli banyak, mereka akan terpinggir disebabkan pandemik.”

Beliau berkata perhatian kerajaan mesti bukan sahaja tentang menghasilkan makanan yang cukup untuk penduduk tetapi juga mengutamakan aspek keselamatan makanan yang lain.

“Selain menghasilkan sedikit, soalnya juga tentang akses ekonomi dan fizikal, meningkatkan penggunaan (mengajar orang tentang penyediaan makanan) dan nilai nutrisi,” katanya.

Nasir Shamsudin, seorang profesor ekonomi pertanian di Universiti Putra Malaysia, bersetuju “situasi keselamatan makanan di negara ini menjadi isu yang semakin penting”, mengatakan perlu ada peningkatan dalam pendekatan Malaysia terhadap penyelidikan pertanian.

Jika dibiarkan, katanya, “import makanan akan terus meningkat kerana kenaikan pendapatan per kapita dan populasi, dan sekiranya berlaku pandemik lain, harga makanan akan meningkat”.

Beliau mengenal pasti sejumlah isu yang melanda sektor makanan yang perlu ditangani, iaitu kekurangan pelaburan dalam penyelidikan pertanian, pertanian skala kecil dengan teknologi yang lemah, kurangnya keusahawanan, perubahan iklim, dan sumber yang semakin berkurang.

Nasir mencadangkan baik pulih seperti meningkatkan stok makanan untuk situasi kecemasan, program subsidi untuk petani ketika krisis, dan meningkatkan penyelidikan dalam bidang makanan untuk mengembangkan teknologi yang meminimumkan sisa dan meningkatkan hasil keseluruhan.

Sarena mengenal pasti Bernas sebagai contoh syarikat yang dapat menjamin keselamatan komoditi utama, kerana beras terus tersedia pada harga yang stabil ketika wabak Covid-19 melanda.

Beliau percaya “industri akan runtuh” sekiranya Bernas dikeluarkan tanpa reformasi meluas dibuat terlebih dahulu kerana ia boleh mengatasi banyak masalah yang timbul bagi tanaman lain dengan melakukan tugas khusus dalam industri, seperti menetapkan had paras harga beras untuk pengguna dan membeli padi dari petani pada harga minimum yang tetap.

“Untuk menanggung tanggungjawab sosial mereka, mereka mendapat hak import,” katanya, sambil menambah “sekiranya anda segera mengeluarkan ia, tiada siapa akan urus industri padi”.

Sarena memberi amaran pandemik adalah kitaran hidup semula jadi, mengatakan negara perlu bersiap awal untuk menghadapi pandemik lain dengan mengukuhkan rantaian bekalan makanan dan melabur dalam penyelidikan dan inovasi bidang pertanian.

Katanya, pengguna juga perlu berhati-hati dengan tabiat membeli mereka kerana menyimpan stok “mengganggu sistem dan membuatkan orang yang amat memerlukan tidak dapat membeli makanan”.

“Jangan beli banyak dan membuatkan golongan yang perlu tidak dapat membelinya,” katanya, dan menyarankan pengguna menyesuaikan tabiat membeli dengan memasukkan lebih banyak produk yang diperakui Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) untuk membantu petani lestari.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version