PETALING JAYA, 13 Okt: Pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak akan produktif jika rakyat tidak mematuhi amalan selamat, kata pakar kesihatan awam.

Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata, PKPB tidak akan memberi kesan positif jika orang ramai tidak memahami kepentingan mematuhi SOP.

“Malangnya, apabila berkaitan penyakit berjangkit seperti Covid-19, (PKPB) memberikan masa, tetapi tiada gunanya jika rakyat tidak faham mengapa perlu patuh SOP, pakai pelitup muka, cuci tangan dan permukaan tempat kerja mereka,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, PKP ialah langkah jangka pendek yang juga mampu melumpuhkan ekonomi di negeri terbabit, menyebabkan peningkatan kadar pengangguran dan mengurangkan pendapatan.

“Kemungkinan, PKPB malah boleh meningkatkan lagi risiko rakyat terhadap jangkitan kerana mereka semakin terdesak, mengambil lebih banyak risiko dan kurang mampu mengambil langkah pencegahan.

“Ini akan menyebabkan banyak keluarga yang sudahpun berada di ambang kemiskinan akibat PKP terdahulu, menjadi betul-betul menjadi miskin kali ini,” katanya sambil menambah kes Covid-19 akan meningkat lagi selepas PKPB tamat.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye berharap PKPB dapat mengekang penyebaran virus itu dan menurunkan kadar jangkitan.

“Jika tidak berjaya, ia akan menjadi bencana.”

Katanya, kerajaan persekutuan perlu memastikan masyarakat tidak keliru dengan SOP.

“Jangan umum langkah baru setiap hari. Apa saja langkah di bawah PKPB, ia perlu dilaksanakan selama 2 minggu. Jenis aktiviti perlu diseragamkan supaya semua orang boleh patuhi dan faham.”

Semalam, Selangor mencatatkan 69 kes baru jangkitan tempatan, Kuala Lumpur (28) dan Putrajaya (2). Terdapat 8 kluster aktif di bahagian tengah, dengan kebanyakan kes daripada kluster Jalan Meru yang kini mencatatkan 89 kes positif secara keseluruhan.

Ditanya sama ada keadaan itu dapat dielakkan, Lee berkata, banyak kes di Selangor berkaitan jangkitan Covid-19 di Sabah, yang bermula awal September lalu.

“Jika mereka boleh melakukan kuarantin 2 minggu bagi mereka yang pulang dari Sabah sejak awal lagi, PKPB ini mungkin boleh dielak.”

Lee bagaimanapun berkata, Kementerian Kesihatan berdepan kekurangan tenaga kerja “yang membimbangkan” untuk melaksanakan kuarantin.

KKM turut kekurangan sumber tenaga manusia untuk melakukan aktiviti kesihatan awam seperti pengesanan kontak, saringan dan ujian, serta rawatan untuk pesakit baru.

“Mereka kekurangan kakitangan untuk mengendalikan aktiviti kesihatan awam….kekurangan kerana terpaksa merawat pesakit yang ramai dalam jangka masa singkat, terutamanya di Sabah. Banyak hospital hadapi bebanan.

“Atas kertas nampak okey, tetapi kita tahu, di lapangan, kakitangan sangat tertekan. Ia membimbangkan.”

Lee berkata, rancangan KKM mengambil 1,899 pekerja kesihatan kontrak tambahan ialah langkah pertama yang baik.

“Buat masa ini ialah 1,899, tetapi saya rasa mereka merancang untuk mohon 2,000 orang yang merupakan langkah baik. Diharapkan 2,000 orang dapat diambil bekerja dengan segera.”

Semalam, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba dilaporkan berkata, kakitangan tambahan itu melibatkan pegawai penyelidik, jururawat, penolong pegawai perubatan dan juruteknik makmal. Permohonan untuk pengambilan itu diserahkan kepada Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam Jumaat lalu.

Lee berkata, ini akan menelan perbelanjaan kerajaan sekitar RM100 juta setahun.

Katanya, KKM perlu membuka kriteria pekerjaan itu untuk aktiviti kesihatan awam seperti pengesanan kontak.

“Ia sebenarnya tidak memerlukan seseorang untuk menjalani latihan kesihatan awam. Semua orang boleh buat. Kementerian boleh sediakan latihan dan dalam tempoh 4 minggu, mereka dapat melakukan tugas lebih mudah seperti pengesanan kontak rapat.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here