KUALA LUMPUR, 22 Okt — Amalan buruh paksa bukan lagi isu di negara ini berikutan tindakan kerajaan melaksanakan pelbagai langkah menanganinya termasuk menerusi penetapan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang berkuat kuasa pada 1 Jan, 2021.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata MSPO itu antara lainnya mewajibkan semua pemain industri mematuhi syarat tidak menggunakan khidmat buruh paksa bagi mendapatkan pensijilan tersebut.

Malah, beliau menegaskan sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan COVID-19, kerajaan juga menetapkan tiada pengambilan pekerja asing baharu bagi sektor perladangan. 

“Kerajaan sebaliknya menggalakan majikan mengambil pekerja warga tempatan dengan pemberian Subsidi Upah yang mana majikan dibayar RM300 sebulan selama enam bulan menerusi dana berjumlah RM6 juta melalui agensi Majlis Getah Malaysia (MRC) selain dana RM36 juta untuk aktiviti hiliran sektor getah yang menggantikan pekerja asing dengan pekerja tempatan. 

“Oleh itu, dengan adanya dasar-dasar dilaksanakan oleh kerajaan ini, secara automatik kita boleh menangani isu buruh kasar kerana tiada pekerja asing baharu dan akan tidak timbul juga isu bayaran balik kos pengambilan pekerja asing,” katanya dalam program ‘Assalamualaikum’ yang disiarkan TVAlHijrah hari ini.

Beliau mengulas laporan yang menyenaraikan Malaysia dalam  ‘2020 List of Goods Produce by Child Labour or Child Labour’ oleh Jabatan Buruh Amerika Syarikat pada September 2020. 

Mohd Khairuddin berkata kajian situasi buruh yang dikendalikan oleh kementerian dalam sektor kelapa sawit menunjukkan hanya terdapat 0.8 peratus isu buruh paksa di negara ini, khususnya di Sabah dan Sarawak terutama di kawasan daerah sempadan negeri-negeri tersebut. 

“Kajian yang dibuat mengikut garis panduan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) juga telah dibawa ke Kabinet pada Mei lepas dengan tujuan untuk diterbitkan dan dihantar kepada ILO dan Jabatan Buruh Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga sememangnya berpendirian untuk sentiasa memastikan kebajikan pekerja sama ada tempatan atau warga asing terjaga menerusi penguatkuasaan di peringkat bawahan selain program kesedaran.

Selain itu, mengulas prospek pasaran getah dan kelapa sawit, beliau berkata kerajaan kini giat mengenal pasti pasaran baharu seperti benua Afrika selain Amerika Syarikat dan Eropah.

“Bagi industri kelapa sawit contohnya, kita yakin lebih 400,000 pekebun kecil gembira dengan harga buah tandan segar yang kini mencecah RM550-RM600 satu tan manakala minyak sawit mentah mencecah harga RM3,000 satu tan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here