PETALING JAYA, 26 Okt: Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim menyambut baik keputusan “bersejarah” Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat.

“Ia ketetapan yang berlandaskan semangat Perlembagaan dan memahami denyut nadi keresahan dan suara rakyat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, pemimpin politik, masyarakat, tokoh akademik dan media membantah cadangan itu yang bertentangan semangat demokratik.

Presiden PKR itu turut mengambil maklum nasihat Agong kepada ahli politik supaya tidak berpolitik secara berlebihan dan ahli Parlimen dari partinya akan memastikan perancangan menangani Covid-19, masalah pengangguran dan kemiskinan serta menjana pertumbuhan ekonomi dapat dilaksanakan secara berkesan.

Katanya, tokoh politik dan ahli Parlimen perlu menggalas tanggungjawab sesuai dengan semangat Perlembagaan dan kebertanggungjawaban kepada rakyat, institusi Parlimen dan negara untuk mengimbangi tuntutan berhubung keadilan, menolak rasuah dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa.

Nasihat Agong untuk ahli politik berhenti berpolitik menyusul selepas spekulasi selama beberapa minggu mengenai langkah menjatuhkan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.

Pada 23 Sept lalu, Anwar mendakwa beliau mempunyai “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru.

Beliau menghadap Agong pada 13 Okt lalu untuk menunjukkan bukti beliau mempunyai majoriti mencukupi bagi menubuhkan kerajaan baru.

Timbul spekulasi ahli Parlimen mungkin menolak Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 Nov ini. Undian menentang belanjawan itu akan menyebabkan kerajaan Muhyiddin tumbang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here