PETALING JAYA, 26 Okt: Pakar kesihatan memberi amaran supaya kerajaan tidak membenarkan pesakit Covid-19 berisiko rendah menjalani kuarantin dan rawatan di rumah.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, semua pesakit Covid-19 perlu dipantau dan mereka yang berisiko rendah atau tidak bergejala hendaklah dikuarantin di tempat yang dikhaskan.

Katanya, ini kerana langkah membenarkan mereka menjalani kuarantin dan rawatan di rumah akan membuka jalan kepada risiko jangkitan “yang sangat tinggi” dalam kalangan anggota keluarga walapun semua usaha dibuat bagi menghalangnya.

Beliau memberi komen kepada bantahan bekas perdana menteri Najib Razak terhadap idea itu selepas Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, ia menimbangkan perkara itu sebagai satu pilihan sekiranya pusat kuarantin dan rawatan pesakit berisiko rendah penuh.

Najib berkata, langkah itu boleh menyebabkan virus berkenaan tersebar lebih luas.

Sebaliknya kata beliau, pesakit hendaklah ditempatkan di pusat kuarantin yang ditetapkan dan boleh dibiayai oleh kerajaan atau skim MySalam, terutama golongan yang tidak mampu membayar sendiri kosnya.

Lee berkata, KKM boleh menimbangkan untuk menggunakan hotel, asrama atau dewan komuniti sebagai kemudahan sementara seperti Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang, Selangor sebelum ini.

“Idea merawat pesakit di rumah hanya menggambarkan keamatan kes jangkitan yang berlaku di Sabah. KKM perlu dibantu bukan sahaja untuk merawat pesakit, tetapi juga mengawal jangkitan di sana.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Subramaniam Muniandy berkata, pusat kuarantin adalah pilihan lebih baik berikutan banyak kes pelanggaran perintah kuarantin di rumah dan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Pada masa ini tiada jaminan kukuh bahawa orang ramai akan mematuhinya. Ia berisiko.

Subramaniam berkata, MMA mencadangan wakil rakyat di Sabah bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam mengenal pasti kemudahan yang ada di kawasan masing-masing yang boleh dijadikan pusat kuarantin bagi kes ringan Covid-19.

Ketua eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, pengetahuan kesihatan yang rendah merupakan masalah utama dalam isu kuarantin di rumah, sekali gus kurang pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, KKM perlu menjalankan taksiran risiko berhubung perkara itu. Selain itu, tiada kemungkinan dana berjumlah berbilion ringgit dalam skim MySalam boleh dimanfaatkan kerana ia tertakluk kepada syarat perjanjian antara kerajaan dengan Great Eastern.

Azrul berkata, walaupun hotel dan pusat konvensyen boleh digunakan sebagai pusat kuarantin, namun lokasinya mungkin berjauhan dari tempat jangkitan tempatan dan boleh menjadi “mimpi ngeri logistik”.

“Selain itu, dana kerajaan yang terhad mungkin tidak mencukupi, hatta untuk menampung sebahagian daripada kosnya kerana ia lebih diutamakan untuk membayar kos saringan, pengesanan kontak rapat dan rawatan. Sukar untuk membelanjakan dana yang tidak ada.”

Azrul berkata, lebih penting sekarang ialah langkah memperluas usaha yang dilakukan oleh kerajaan dan memastikan petugas kesihatan barisan depan mendapat peralatan dan dana yang mencukupi, selain petugas pengganti untuk mengisi tempat mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here