PETALING JAYA, 26 Okt: Seorang pakar ekonomi mempersoalkan keputusan sebuah bank milik kerajaan Sabah memberi pinjaman sebanyak RM300 juta kepada AirAsia dengan berkata, dana itu sepatutnya digunakan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri itu.

Firdausi Suffian dari UiTM Sabah berkata, beliau terkejut dengan laporan bahawa syarikat penerbangan berkenaan mendapat pinjaman sebanyak RM300 juta daripada Bank Pembangunan Sabah yang merupakan anak syarikat milik penuh kerajaan Sabah.

Firdausi berkata, walaupun bukan kesalahan bagi sebuah bank memberi pinjaman kepada sebuah syarikat, tetapi keutamaan bank milik kerajaan negeri ialah membantu syarikat di Sabah, terutamanya PKS yang sangat terkesan dengan penularan wabak Covid-19.

“Dengan penularan Covid-19, fokus sepatutnya ialah kepada PKS, bukannya sebuah syarikat yang untung besar beberapa tahun lepas.”

Minggu lepas, Presiden SAPP Yong Teck Lee menggesa kerajaan negeri menghentikan pinjaman itu kerana bank berkenaan diberi mandat untuk menyediakan pembiayaan pembangunan untuk projek di Sabah, bukan urus niaga berisiko.

Bagaimanapun, dalam pemfailan di bursa saham Jumaat lalu, syarikat penerbangan itu berkata, pinjaman berkenaan telah diperolehi dan diterima dan akan digunakan untuk meningkatkan logistik di Sabah yang akan mewujudkan lebih 100,000 pekerjaan baru.

Firdausi berkata PKS adalah tulang belakang ekonomi dan Sabah mempunyai 55,000 PKS yang menggaji lebih 150,000 orang.

“PKS hanya dapat bantuan sekitar RM90 juta dalam 2 pakej rangsangan kerajaan Sabah,” katanya dengan menambah bahawa sektor berkenaan menyumbang hampir 57% kepada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) Sabah.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak, berkata beliau tidak memahami rasional kerajaan mahu memberikan pinjaman yang begitu besar kepada AirAsia yang boleh digunakan untuk menyokong perniagaan yang berdepan masalah di negeri itu.

“Lainlah jika mereka (kerajaan) melabur dalam syarikat itu. Saya rasa kerajaan negeri perlu menjelaskan rasional di sebalik keputusan berkenaan kerana ia akan mengundang kecaman.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here