PETALING JAYA,27 Okt: Veteran DAP Lim Kit Siang menggesa supaya perbincangan dalam kalangan ahli politik mengenai “perdamaian politik” dan “perpaduan nasional” dilaksanakan dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.

Lim berkata, mesej utama dari kenyataan Yang di-Pertuan Agong pada Ahad adalah agar seluruh negara dapat bersatu dalam memerangi wabak itu, tanpa mengira ideologi politik atau latar belakang.

Beliau berkata nasihat Agong itu lebih penting untuk dibuktikan melalui tindakan kerana negara mencatat rekod tertinggi Covid-19 iaitu 1,240 kes, semalam.

“Malam semalam, persoalannya bertukar kepada adakah pemerintahan pintu belakang Muhyiddin Yassin ini akan tumbang sekiranya Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk menarik keluar Umno daripada kerajaan Perikatan Nasional,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

“Semua percakapan menggunakan bahasa perdamaian politik dan perpaduan nasional, tetapi tindakan yang dilihat menunjukkan tanda-tanda politik perpecahan dan polarisasi nasional.

“Kita telah membazirkan dua hari dan tidak boleh membazir masa lagi daripada untuk fokus dan menumpukan perhatian kepada pemikiran dan pendekatan melibatkan ‘keseluruhan kerajaan’ dan ‘keseluruhan masyarakat’ dalam perang melawan gelombang ke-3 wabak Covid-19 di Malaysia.

“Kita hanya akan mensia-siakan usaha para petugas barisan depan yang mempertaruhkan kesihatan dan nyawa mereka untuk memerangi wabak Covid-19 ini jika kita terus berlengah.”

Istana Negara sebelum ini mengumumkan tiada keperluan mengisytiharkan darurat di mana-mana bahagian dalam negara sekarang selepas Agong berbincang dengan raja-raja Melayu dan melihat situasi semasa dalam negara.

Katanya, Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.

Dalam pada itu, Agong turut mengingatkan ahli politik supaya berhenti berpolitik bagi mengelakkan kestabilan negara terjejas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here