PETALING JAYA, 27 Okt: Veteran Umno, Noh Omar menafikan laporan mendakwa beliau dan seorang lagi pemimpin parti itu, Nazri Aziz menyerang bekas perdana menteri, Najib Razak berhubung cadangan bekerjasama dengan Anwar Ibrahim.

Dalam catatan Facebook, ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, beliau “terkejut” dengan laporan yang mendakwa demikian.

“Apa yang ditulis adalah tidak benar. Ya, betul saya hadir perjumpaan tengahari tadi, tapi saya tidak menyerang Najib. Saya hanya memberi pandangan peribadi dan Nazri tidak hadir.”

Katanya, ini menunjukkan laporan terbabit “tidak benar sama sekali”.

Dalam pada itu, Nazri turut menafikan laporan tersebut dengan berkata, beliau tidak menghadiri mesyuarat itu kerana berada di Kelantan.

“Itu tipu. Saya tak ada dekat sana. Saya akan turuti apa saja keputusan parti,” katanya kepada FMT.

Semalam, Najib yang juga bekas presiden Umno, berkata cadangannya untuk parti itu bekerjasama dengan Presiden PKR, Anwar ialah pilihan yang boleh dipertimbangkan, jika pilihan pertamanya untuk mengadakan pilihan raya umum ditolak Perikatan Nasional (PN).

Cadangan bekerjasama dengan Anwar, katanya, atas syarat bekas timbalan perdana menteri itu tidak melibatkan DAP.

Najib berkata, beliau tidak menolak untuk menyatakan sokongan bersyarat kepada kerajaan PN sehingga pilihan raya umum akan datang, pada masa sama berunding supaya Umno dan Barisan Nasional (BN) diberi peranan lebih besar terutama dalam hal ehwal ekonomi.

Mesyuarat ahli Parlimen Umno, yang diikuti mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno, berlaku di tengah-tengah hubungan tegang antara parti itu dengan PPBM.

Mesyuarat itu berakhir dengan mengumumkan mereka akan terus menyokong kerajaan pimpinan PN dan tidak akan bekerjasama dengan PKR mahupun DAP untuk membentuk kerajaan baru.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here