KUALA LUMPUR, 19 Nov — Sistem statistik negara perlu diperkukuhkan bagi memastikan data yang ada diselaraskan dan dapat digunakan kerajaan dalam merangka dasar serta membuat keputusan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, kerajaan telah bersetuju agar pengukuhan sistem statistik negara dilaksanakan, dengan diketuai Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang bertindak sebagai agensi pusat dalam penyelarasan sistem statistik tersebut.

“DOSM akan bertanggungjawab membantu, menyelaras dan mengawal penghasilan statistik kementerian, jabatan dan agensi,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sebelum merasmikan Seminar ‘My Local Stats 2020: Statistik Daerah & Tempatan Ke Arah Kecekapan Perancangan dan Pengurusan Sumber’ menerusi siaran langsung di laman sosial Facebook DOSM.

Jelas Mohd Zuki, pelaksanaan kajian berkaitan, bakal dikawal dan menggunakan standard yang ditetapkan, serta statistik yang dikeluarkan akan disahkan oleh DOSM.

Menurutnya, data pentadbiran granular menjadi sumber data yang penting bagi kerajaan, kerana dapat mengurangkan kebergantungan kepada data primer yang dikumpul secara banci atau tinjauan dan secara tidak langsung, penggunaan data sekunder boleh mengurangkan kos dan penjimatan bagi pengumpulan data.

Katanya realiti hari ini, setiap data yang ada tidak bersifat kejat (kukuh) dan boleh berada di merata-rata tempat.

“Kementerian dan agensi Kerajaan Pusat serta Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat milik kerajaan (GLC), mempunyai pangkalan data masing-masing yang berada dalam keadaan bersendiri atau in silo.

“Agensi atau badan-badan ini tidak diselaraskan dan penggunaan metodologi, piawaian, konsep serta definisi kadang-kadang berbeza,” katanya.

Selain itu Mohd Zuki berkata kerajaan turut memperkenalkan jawatan ‘Chief Data Officer’ (CDO) di kementerian, jabatan dan agensi di bawah kawal selia DOSM, bagi membangunkan mekanisme sistematik untuk koordinasi, capaian dan kerjasama, terhadap perkongsian data.

“Pengukuhan sistem statistik negara akan memberikan impak positif, antaranya menjamin ketersediaan data lebih komprehensif di sektor kerajaan dalam merangka dasar jangka pendek dan jangka panjang negara.

“Di samping itu, ia turut bertujuan meningkatkan kepakaran analitikal berkaitan semua bidang ekonomi, sosial dan demografi, dalam kalangan pegawai-pegawai di semua kementerian serta agensi,” katanya.

Sementara itu menurutnya, pembangunan yang terancang dan berkesan secara ekonomi mahupun sosial, memberikan impak positif kepada masyarakat serta manfaat dalam meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan negara.

“Statistik dapat menghapuskan ketidakpastian dan membantu kerajaan membuat keputusan berasaskan fakta,”  katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here