KOTA KINABALU,23 Nov: Pakar psikiatri berkata, penyebaran fakta atau berita palsu adalah antara cabaran terbesar yang dihadapi mangsa Covid-19 dalam berdepan stigma terhadap mereka.

Dr Lee Sze Chet dari Hospital Mesra Bukit Padang di sini, berkata, dengan kemudahan teknologi yang ada, sesuatu perkara sama ada palsu atau tidak, mudah tersebar menerusi pelbagai platform media sosial.

“Kemudahan teknologi boleh menolong petugas kesihatan dalam memerangi pandemik Covid-19, contohnya untuk kita periksa dan sebarkan maklumat pencegahan.

“Bagaimanapun pada masa sama, kemudahan teknologi juga memudahkan penyebaran fakta palsu sehingga menyebabkan stigma dan ini memudaratkan kesihatan mental mangsa Covid-19,” katanya kepada FMT, hari ini.

Lee berkata, antara impak stigma terhadap mangsa atau bekas pesakit Covid-19 ialah kemurungan, gelisah, cepat marah dan sering menyalahkan diri sendiri.

”Jadi, antara cara kita mengatasi stigma ini adalah dengan tidak menyebarkan fakta atau berita palsu.

“Selain itu kita boleh membantu dengan bersuara sekiranya mendapati ada komen yang berbentuk diskiminasi terhadap mangsa Covid-19 bagi menunjukkan keprihatinan serta sokongan kepada mereka.

”Selain itu kita juga boleh membantu dengan cara menghormati mereka dan petugas barisan hadapan, bersikap terbuka dan positif serta menggunakan perkataan mangsa atau ‘survivor’ bagi merujuk kepada pesakit positif Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, antara cara untuk membantu pejuang Covid-19 juga adalah dengan menggunakan perkataan yang sesuai ketika berkomunikasi dengan mereka.

”Jangan menggunakan perkataan yang terlalu memberi harapan kepada mereka seperti ‘jangan risau, anda akan sihat’, ‘tiada apa yang ada perlu takut’ atau ‘saya yakin yang semua ini akan berakhir dalam beberapa minggu lagi’.

”Sebaliknya, kita gunakan perkataan atau ayat yang lebih sesuai dengan memberi harapan lebih ikhlas seperti ‘perkara ini memang agak sukar, tetapi saya percayakan anda’, ‘apa yang anda rasa ketika ini memang penting, rasa dan alu-alukan perasaan itu serta jangan menolak atau menafikannya’,” katanya.

Sementara itu, Lee turut memberikan beberapa tips kepada mangsa Covid-19 dalam menghadapi stigma dan tekanan, termasuk “merehatkan diri” daripada media sosial atau laporan berita.

”Jika anda stres dengan terlalu banyak maklumat, tutup telefon. Ini mungkin boleh membantu.

”Selain itu, lakukan juga senaman ringan kerana senaman ini dapat meningkatkan paras hormon gembira dalam tubuh yang juga membuatkan seseorang berasa lebih gembira.

”Para mangsa (Covid-19) juga boleh menghilangkan stres dengan berhubung dengan orang tersayang menerusi komunikasi digital seperti panggilan video, Zoom atau Skype.

”Antara tips lain, termasuk mengamalkan pemakanan sihat dan melakukan aktiviti digemari untuk mengurangkan rasa bosan dan rasa terasing,” katanya.

Dalam pada itu, Lee turut mengalu-alukan orang ramai yang menghadapi stigma atau tekanan, khususnya ketika krisis pandemik Covid-19 ini supaya berhubung atau menghatar pesanan terus kepada pasukan mereka di laman Facebook Hospital Mesra Bukit Padang.

”Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi sokongan psikososial daripada pasukan kesihatan mental dan sokongan psikososial (MHPSS) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) yang ada di setiap daerah di negeri ini.

”Ada juga beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut menawarkan khidmat sama seperti Befrienders di nombor Whatsapp 016-8036945 dan Kawan Bah di nombor 012-7753020.

”Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga mempunyai Talian Kasih di nombor 15999 atau Whatsapp ke nombor 019-2615999 dan juga CovidCares untuk petugas barisan hadapan di nombor 013-5494690,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here