PETALING JAYA,23 Nov: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berkata, generasi muda Malaysia akan memainkan peranan terbesar dalam memajukan ekonomi digital negara dan bertanggungjawab ke atas peralihan ke era revolusi industri ke-4 (IR4.0).

Memetik laporan Forum Ekonomi Sedunia (WEF), ketua pegawai eksekutif MDEC Surina Shukri berkata, 65% murid sekolah rendah hari ini akan mengisi pekerjaan yang masih belum diwujudkan.

“Industri yang bakal dikuasai oleh minda kreatif generasi muda ini, termasuk sektor kandungan digital, kewangan digital, ruang perusahaan pemula, e-dagang, automasi, robotik dan mana-mana bidang menerusi internet dan perkhidmatan yang beroperasi dalam ekonomi gig,” katanya.

Beliau bercakap tentang kepentingan dalam mempersiapkan generasi muda Malaysia untuk pasaran pekerjaan yang berubah dengan berkata, model perniagaan dan trend pekerjaan mula berubah dan kemahiran tradisional akan menjadi tidak perlu pada masa akan datang.

“Kemahiran utama yang diperlukan sekarang dan masa depan, termasuk keupayaan menyelesaikan masalah lanjutan dan komitmen untuk terus belajar.

“Kecekapan dalam menguasai platform dan perkhidmatan digital berserta pelbagai keupayaan pemasaran digital sangat diperlukan.

“Ia mesti ditangani kerana ia penting untuk pekerjaan generasi akan datang dan peluang untuk membawa ekonomi digital ke hadapan.”

Beliau berkata, antara langkah pertamanya ialah menggabungkan subjek digital teras ke dalam silibus sekolah dan meningkatkan akses pelajar kepada pelajaran dalam talian di kawasan luar bandar.

Raymond Siva, ketua pegawai pemasaran MDEC berkata, generasi muda Malaysia bakal memimpin bidang kandungan digital kerana keupayaan mereka untuk memanfaatkan trend penting dengan pantas dan menjana pendapatan daripada pekerjaan mereka.

Beliau berkata, antara contohnya ialah pengguna TikTok yang menggunakan platform media sosial itu dalam menonjolkan kemahiran menyunting video.

“Banyak peluang dalam platform ini boleh digunakan untuk kesedaran jenama pemasaran dan pengaruh mikro atau makro dengan kandungan berefungsi sebagai pemacu utama.

“Menjana pendapatan menerusi platform sebegini boleh dibuat, sama ada sebagai pekerjaan sampingan atau pendapatan jangka masa panjang.”

Mengenai isu hak privasi dan keselamatan data, Siva berkata, MDEC akan bekerja di bawah Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) yang baru dilancarkan selama 5 tahun akan datang bagi memastikan semua rakyat Malaysia belajar memanfaatkan bidang ekonomi digital secara selamat dan bertanggungjawab.

Beliau berkata, usaha terbaru MDEC, termasuk inisiatif #YouthCreators akan dijadikan platform untuk meneroka potensi generasi muda dan menggalakkan mereka memperkuat kemahiran digital masing-masing untuk tahun-tahun akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here