Home Berita Lain Cukai baharu hanya diperkenal selepas ekonomi pulih

Cukai baharu hanya diperkenal selepas ekonomi pulih

KUALA LUMPUR,25 Nov: Kerajaan hanya akan memperkenalkan sebarang cukai baharu apabila keadaan ekonomi pulih, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, selain memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST), kerajaan turut meneliti pencukaian baharu yang bersesuaian.

Katanya, kajian mengenai cukai terbabit dilaksanakan oleh jawatankuasa khusus yang ditubuhkan pada akhir 2019.

“(Namun) buat masa ini negara dalam proses pemulihan ekonomi…saya rasa tidak sesuai untuk kita memperkenalkan cukai baharu.

“Mungkin Insya-Allah, apabila ekonomi pulih semula, kita dapat meneliti kajian yang dibuat sekarang dan lihat apakah cukai yang sesuai untuk diumumkan (dilaksanakan),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi wawancara Institut Strategik dan Integriti Terengganu (TSIS) bertajuk “Belanjawan 2021: Belanjawan Survival Covid-19” yang disiarkan menerusi Facebook TV Darul Iman dan Kelantan TV, semalam.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata selain meningkatkan hasil, kerajaan juga komited untuk mengurangkan paras hutang negara daripada 60% dan mengembangkan sektor berimpak tinggi.

Menurutnya, kerajaan juga menyasarkan untuk mengurangkan ketirisan dalam ekonomi bayangan yang kini sekitar 21% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version