KUALA LUMPUR, 27 Nov — Asia Pacific Investment Bank (APIB) menggesa syarikat China memanfaatkan dasar perdagangan dan insentif cukai Malaysia serta melabur di negara ini untuk mengembangkan usaha perniagaan antarabangsa mereka.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif APIB Chris Wang berkata China sentiasa menjadi sumber utama pelaburan langsung asing bagi Malaysia.

“Walaupun menghadapi krisis pandemik yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada tahun ini, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencatatkan US$103.93 bilion dari Januari hingga Oktober 2020.

“Jumlah perdagangan itu mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan China, dalam perdagangan dan hubungan diplomatik,” katanya. 

ABIP berkata insentif cukai baharu yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2021, dengan kadar cukai keutamaan sebanyak 10 peratus untuk tempoh lima tahun dan boleh diperbaharui selama lima tahun lagi akan menarik pelaburan asing terutamanya syarikat China, dan pada masa sama menggalakkan aktiviti perdagangan global.

“Sebagai bank pelaburan luar pesisir yang dibiayai oleh China, kami amat menggalakkan syarikat China melabur di Malaysia untuk hasil yang akan memberi manfaat bersama.

“Selama 11 tahun berturut-turut, China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia dan mempunyai potensi yang tinggi dari segi kerjasama ekonomi dan perdagangan,” kata Wang.

Berdasarkan statistik Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, kerajaan Malaysia telah meluluskan 58 projek pelaburan untuk syarikat pembuatan dari Januari hingga September.

“Projek ini akan menjana sejumlah besar peluang pekerjaan baharu yang penting untuk pasaran buruh yang lembap pada masa ini.

“Pakej Rangsangan Ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia semasa pandemik telah memberikan bantuan kepada perniagaan,” katanya.

Sebagai memberi motivasi kepada syarikat China untuk melabur di Malaysia, APIB telah melancarkan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan-APIB baru-baru ini, program perkhidmatan kewangan yang menyeluruh.

Ia turut memperkenalkan skim perkhidmatan kewangan khusus untuk syarikat yang menceburi perdagangan rentas sempadan, yang termasuk instrumen penyelesaian pelbagai mata wang dan skim pembiayaan rantaian bekalan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here