PETALING JAYA,27 Nov: Ketua Whip DAP, Loke Siew Fook memohon maaf dan akan mengambil tanggungjawab penuh kerana mengarahkan ahli Parlimen partinya tidak bangun meminta undi belah bahagian bagi menolak Belanjawan 2021 di peringkat dasar semalam.

Katanya, arahan itu dibuat selepas menerima mesej daripada ketua pembangkang, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, jika pembangkang menolak belanjawan di peringkat dasar, Perikatan Nasional akan memainkan sentimen dengan mendakwa kami mengingkari nasihat Yang di-Pertuan Agong dan menyebabkan gaji penjawat awam tidak dibayar, tidak menyokong bantuan untuk B40, menyekat elaun sara hidup bagi petani serta nelayan.

“Saya faham ramai ahli dan penyokong DAP sangat kecewa dengan keputusan ini dan mengkritik tindakan kami.

“Saya memohon maaf secara terbuka, jika anda merasakan keputusan ini salah,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Loke yang juga setiausaha organisasi DAP berkata, keputusan itu tidak bermakna pembangkang menyokong Belanjawan 2021 sepenuhnya.

“Ada perkara yang kita boleh setuju dan sokong, seperti pembayaran gaji untuk kakitangan awam, elaun khas untuk petugas barisan depan, bantuan tunai kepada rakyat, subsidi gaji untuk majikan, peruntukan untuk pengangkutan seperti MY30 dan lain-lain peruntukan yang memberi manfaat terus kepada rakyat.

“Namun, banyak juga peruntukan yang kita tolak seperti peruntukan RM85 juta untuk JASA, pemotongan peruntukan untuk pelbagai jenis aliran sekolah dan isu lain yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen pembangkang.”

Katanya, pembangkang akan meminta undi belah bahagi untuk menolak peruntukan bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia kerana JASA ialah agensi di bawah kementerian itu.

Beliau berkata, perkara yang tidak dipersetujui pembangkang dalam Belanjawan 2021 akan dibantah dalam perbahasan peringkat jawatankuasa mulai Isnin depan.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 di peringkat dasar melalui undian suara, selepas sebahagian besar ahli Parlimen, termasuk pembangkang tidak menyokong cadangan undi belah bahagi.

Hanya 13 ahli Parlimen yang bangun menyokong cadangan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) untuk undi belah bahagi diadakan berbanding syarat minimum 15 ahli Parlimen untuk menyokong cadangan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here