BEIJING, 27 Nov — Meskipun dunia sedang bergelut dengan pandemik COVID-19 dan kemerosotan pertumbuhan, kerjasama ekonomi dan perdagangan antara China dengan ASEAN masih berjaya membuahkan hasil cemerlang pada tahun ini.

Prestasi itu secara tidak langsung bukan hanya membantu kepada pemulihan ekonomi serantau, malah turut membawa sinar harapan kepada ekonomi global.

Sejak awal tahun ini, kejayaan demi kejayaan telah disaksikan dalam perdagangan China dengan ASEAN, hinggakan ASEAN mendahului Kesatuan Eropah (EU) menjadi rakan dagang terbesar China.

Selain itu, ASEAN juga menjadi satu-satunya rakan dagang China yang mewujudkan pertumbuhan perdagangan dua hala pada tahun ini. Pemeteraian perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pula menandakan lahirnya blok perdagangan bebas terbesar di dunia atas kerjasama China dengan ASEAN.

Pada hari ini, Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-17 membuka tirainya di Nanning, wilayah Guangxi yang menjadi wadah untuk peserta berkongsi peluang perniagaan secara maya atau fizikal.

Kesemuanya membuktikan hubungan China-ASEAN ialah model yang paling berjaya dan dinamik dalam kerjasama serantau Asia Pasifik, selain menjadi contoh kepada komuniti berkongsi nasib sesama insan.  

Pemulihan ekonomi pada era pasca pandemik merupakan topik yang menjadi perhatian utama anggota ASEAN dan para pedagang. 

Tatkala pasaran global dihambat kesuraman, pasaran China menjadi “pelabuhan” bagi pelbagai syarikat antarabangsa, termasuk syarikat dari ASEAN. 

Setelah mengatasi pelbagai kesukaran, China terus menganjurkan aktiviti-aktiviti penting termasuk Pameran Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa China (CIFTIS), Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) dan juga CAEXPO, untuk menyediakan peluang kepada peniaga asing dan membantu mereka meneroka pasaran China yang semakin mantap dan berkualiti tinggi. 

Presiden Xi Jinping dalam ucaptama pada ketiga-tiga ekspo tersebut secara tegas memaparkan pendirian China yang menentang amalan perlindungan perdagangan dan unilateralisme, serta komitmen bersama-sama menggalakkan pemulihan ekonomi dunia secepat mungkin.

Tahun ini genap satu dekad penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA), juga Tahun Kerjasama Ekonomi Digital China-ASEAN. 

Dalam konteks penularan pandemik COVID-19, mesyuarat dan pameran secara maya berkembang pesat, sekali gus membuka peluang untuk China dan ASEAN mendorong inovasi ekonomi digital dan merealisasikan lonjakan dalam bidang tersebut. 

Jualan dalam talian kini cukup popular di China. Dua sesi promosi jualan secara penstriman langsung anjuran Stesen Televisyen Pusat China (CCTV) sempena CIIE pada awal bulan ini merekodkan penjualan melepasi 140 juta yuan (RM87.21 juta). 

Untuk menggunakan peluang CAEXPO buat julung-julung kalinya diadakan secara maya dan berkongsi faedah daripada jualan dalam talian, CAEXPO kali ini khusus menyediakan kursus berkenaan untuk membantu peniaga ASEAN meningkatkan lagi jualan mereka.

Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE ke Konsulat Jeneral Malaysia di Guangzhou, Zaimah Osman turut mengambil pengalaman dengan menyertai sendiri jualan dalam talian anjuran CAEXPO bagi mempromosi pelbagai produk istimewa dari Malaysia. 

CAEXPO yang sudah diadakan sebanyak 17 kali, terus berusaha menyediakan peluang dan platform baharu bagi kerjasama ekonomi dan perdagangan China-ASEAN.

Dalam perkembangan lain, seiring dengan penaiktarafan CAFTA dan pemeteraian RCEP, kerjasama ekonomi dan perdagangan antara China dengan ASEAN semakin dipermudah.

Pada 30 Ogos tahun lalu, Zon Rintis Perdagangan Bebas Guangxi China telah dirasmikan. Dengan kelebihan berjiran dengan negara-negara ASEAN, Guangxi menyasarkan untuk membangunkan hab penting yang menyambungkan Jalur Ekonomi Jalan Sutera dan Jalan Sutera Maritim Abad Ke-21.

Zon rintis tersebut juga menyasar untuk menjadi contoh kerjasama China-ASEAN yang berkualiti tinggi dengan menggunakan standard bertaraf antarabangsa dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Memandang ke masa depan, integrasi Asia Timur atau Asia Pasifik yang mengutamakan peranan ASEAN akan dipercepat.

China selaku rakan dan jiran baik bagi ASEAN pula pastinya secara aktif menyokong dan menyertai usaha tersebut.

Dengan kelebihan dari segi geografi dan sokongan dasar, peranan CAEXPO sebagai platform penting kerjasama ekonomi dan perdagangan China-ASEAN akan semakin menonjol.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here