KUALA LUMPUR, 27 Nov — Keuntungan bersih CIMB Group Holdings Bhd merosot 80.75 peratus kepada RM194.44 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept 2020 daripada  RM1.01 bilion bagi suku yang sama tahun lepas berikutan impak ekonomi daripada pandemik COVID-19.

Perolehan susut kepada RM4.46 bilion daripada RM4.64 bilion sebelum ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, CIMB berkata berasaskan tahun ke tahun, pendapatan operasinya merosot 3.7 peratus kepada RM4.47 bilion terutamanya berikutan pendapatan bukan faedah (NOII) berasaskan fi rendah dan margin keuntungan bersih (NIM) rendah disebabkan penurunan kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia dan persekitaran kadar faedah rendah di pasaran teras.

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 30 Sept, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih rendah berjumlah RM979.45 juta berbanding RM3.71 bilion bagi tempoh yang sama pada 2019, manakala perolehan susut kepada RM12.47 bilion daripada RM13.27 bilion sebelum ini.

Dalam satu kenyataan, ketua pegawai eksekutif kumpulan Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata prestasi suku ketiga adalah seperti dijangkakan kumpulan itu di samping mengambil kira impak pandemik.

“Unjuran ekonomi suku keempat bagi tahun kewangan 2020 kekal lembap akibat peningkatan semula kes COVID-19 di peringkat domestik dan global,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan kumpulan itu terdorong untuk melihat penambahbaikan suku tahunan dengan prestasi asas yang kekal berdaya tahan meskipun terdapat impak peningkatan peruntukan dalam akaun tertentu, kerugian pengubahsuaian dan penyesuaian makroekonomi.

“Kumpulan ini turut mencatatkan pendapatan operasi yang kukuh dalam hampir semua segmen di tengah-tengah penurunan OPR dalam suku ketiga kepada 1.75 peratus di Malaysia dan persekitaran kadar faedah rendah di semua pasaran teras kami.

“Ini dipacu oleh pemulihan yang kukuh dalam unit pengurusan kekayaan dan bankasurans, disokong oleh nisbah akaun semasa dan simpanan (CASA) lebih baik dan pertumbuhan pinjaman kumpulan yang lebih kukuh,” katanya.

Abdul Rahman menambah, kumpulan itu berpuas hati melihat sumbangan signifikan operasi perbendaharaan perbankan borong dan pasaran ke atas prestasi suku ketiga serta peningkatan aktiviti perbankan pelaburan. 

Menurut kenyataan itu, asas perniagaan kumpulan itu terus berdaya tahan dan pendapatan operasi meningkat suku ke suku dalam hampir kebanyakan segmennya, dengan pinjaman kasar dan deposit masing-masing menokok 1.6 peratus dan 6.1 peratus, manakala nisbah CASA meningkat kepada 40 peratus.

Pendapatan operasi perbankan borong kumpulan bagi suku ketiga meningkat 7.7 peratus suku ke suku, didorong oleh pertumbuhan NOII sebanyak 22.3 peratus dan pertumbuhan NII iaitu 1.7 peratus.

Melangkah ke hadapan, Abdul Rahman berkata kumpulan itu akan terus menyokong pelanggan dan orang ramai dalam tempoh yang mencabar ini.

“Kami bekerjasama rapat dan menyokong semua inisiatif kerajaan untuk mengutamakan pelanggan yang terjejas dari segi kewangan akibat pandemik ini.

“Bagi memastikan perniagaan kami kekal berdaya tahan terhadap kejutan, kami akan menambah baik tumpuan terhadap pengoptimuman kos, pengurusan modal yang cermat, dan langkah proaktif untuk memperkukuh kualiti aset,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here