KUALA LUMPUR, 27 Nov — GOLONGAN berisiko tinggi seperti petugas barisan hadapan dan warga emas yang bakal menjadi kumpulan pertama menerima vaksin Covid-19 di negara ini bukanlah dianggap sebagai ‘tikus makmal’, sebaliknya mereka menerima vaksin yang terbukti selamat dan telah menjalani ujian klinikal berskala besar.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi jaminan vaksin Covid-19 yang akan digunakan di Malaysia kelak, mesti melepasi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan tidak akan sekali-kali berkompromi dalam soal itu.

“Proses pemberian vaksin setelah diperoleh nanti akan dilakukan secara berperingkat dengan mengutamakan kumpulan berisiko tinggi yang mudah mendapat jangkitan Covid-19 sebelum diperluaskan kepada kumpulan sasar yang lain.

“Golongan yang dianggap berisiko tinggi, antara lain sebagaimana saya sebutkan tadi adalah petugas barisan hadapan, warga emas, pesakit-pesakit yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit jantung, diabetes, penyakit pernafasan kronik dan sebagainya.   

“Oleh itu, apabila (vaksin) ini telah diluluskan maka petugas barisan hadapan dan kumpulan berisiko ini bukanlah kumpulan pertama untuk uji kaji, macam orang kata mereka jadi ‘tikus makmal’. Mereka ini akan mendapat vaksin yang telah diuji dan terbukti selamat,” katanya pada sidang media secara maya di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menangkis dakwaan yang menganggap bahawa kumpulan pertama yang akan menerima vaksin Covid-19 itu kelak, diibaratkan umpama bahan uji kaji bagi menilai keberkesanan vaksin itu buat pertama kali di negara ini.

Mengambil contoh vaksin Covid-19 keluaran syarikat farmaseutikal Pfizer, Muhyiddin berkata vaksin itu telahpun menjalani ujian klinikal fasa tiga dan ujian awal vaksin itu melibatkan 43,998 peserta daripada pelbagai negara antaranya Amerika Syarikat, Argentina, Brazil, Jerman, Afrika Selatan dan Turki.

“Jika digabungkan kesemua 12 vaksin yang berada dalam ujian klinikal fasa 3, seramai 500,000 peserta terlibat.

“Selepas menjalani ujian klinikal, semua data yang diperoleh akan dinilai oleh badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Agensi Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA),” katanya.

Tambah beliau, di Malaysia pula NPRA akan menilai data-data itu dan memastikan ia selamat sebelum digunakan oleh rakyat di negara ini.

Selain itu, beliau berkata pemantauan berterusan akan turut dilakukan NPRA terhadap penerima vaksin Covid-19 untuk melihat tahap keselamatan dan keberkesanannya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here